1. Adik-adik sekalian,
Berbuat baik kepada ibu bapa adalah suatu kewajipan yang mesti
ditunaikan oleh setiap insan. Amalan ini sangat dituntut di dalam Islam.
Di dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa berbuat baik kepada
kedua-dua ibu bapa adalah berada pada tempat yang kedua dalam
senarai amal salih, selepas beribadat kepada Allah S.W.T. Namun, tidak
semua anak melakukan sedemikian.
Adik-adik yang dikasihi,
Renungilah firman Allah Taala dalam Surah Al-Isra': 23 memberi
maksud: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan
menyembah selain daripada Allah dan supaya berbuat kebaikan kepada
ibu bapa."
Sesungguhnya, ibu bapa adalah untuk ditaati dengan kedudukan
yang amat tinggi dalam Islam.
Adik-adik yang dirahmati Allah,
Ibu bapa bertungkus-lumus dalam usaha mendidik anak-anak. Ibu
bapa sanggup mengharungi pelbagai pancaroba demi kesejahteraan
anak-anak mereka.
Oleh itu, adik-adik, ibu bapa tidak boleh diingkari, melainkan jika
suruhan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.
Adik-adik sekalian,
Allah Taala telah berfirman di dalam Al-Quran melalui Surah Al-
Isra': 23 yang bermaksud: "Dan kalau salah seorang antara kedua-
duanya atau kedua-duanya (ibu bapa) ada dekat dengan engkau sampai
umur yang sangat tua, janganlah engkau mengatakan padanya perkataan
2. "cis" dan janganlah engkau menggertak kedua-duanya dan ucapkanlah
kepada kedua-duanya dengan perkataan yang hormat dan mulia."
Adik-adik yang dikasihi,
Sesungguhnya Ayat tersebut mengajar kita supaya hormat kepada
kedua-dua ibu bapa dan jangan mengeluarkan kata-kata kasar, walaupun
perkataan "uh". Islam juga mengajar kita supaya jangan mengherdik ibu
bapa dan jangan meninggikan suara apabila bercakap dengan mereka.
Adik-adik yang dirahmati Allah,
Kita hendaklah menyayangi ibu bapa dan mengasihani mereka,
sebagaimana mereka menjaga kita semasa kita kecil lagi. Sebagai anak
yang salih, kita seharusnya bertanggungjawab untuk menjaga kebajikan
kedua-dua ibu bapa dan perasaan mereka.
Adik-adik sekalian,
Kedua-dua ibu bapa, terutamanya ibu, telah melakukan pengorbanan
yang begitu besar dan murni untuk mendidik anak-anak sejak anak-anak
berada di dalam kandungan lagi.
Ibu mengalami pelbagai penderitaan dan kesakitan sepanjang
kehamilan dan kelahiran. Setelah anak dilahirkan, ibulah yang
menyusukan, mengasuh dan menjaga, merawat serta memberi makan.
Adik-adik yang dikasihi,
Oleh sebab itulah berbuat baik kepada seorang ibu lebih besar
daripada berbuat baik kepada bapa.
Sebagai contoh, terdapat sebuah hadis bermaksud: "Telah datang
seorang lelaki kepada Rasulullah S.A.W. lalu bertanya kepada
Rasulullah, "Ya, Rasulullah! Siapakah orang yang lebih berhak mendapat
3. kasih sayang dan berbuat baik kepadanya?" Jawab Rasulullah S.A.W.:
"Ibu kamu." Lelaki tadi bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Jawab
Baginda: "Ibu kamu." Lelaki itu bertanya lagi, "Kemudian siapa?" Jawab
Rasulullah: "Ibu kamu." Lelaki itu terus bertanya lagi, "Kemudian
siapa?" Jawab Rasulullah: "Bapa kamu."
Adik-adik yang dirahmati Allah,
Hadis ini menunjukkan bahawa kedudukan seorang ibu lebih besar
dan mulia daripada seorang bapa. Hal ini kerana ibu banyak menanggung
kesusahan yang tidak ditanggung oleh orang lain.