Perisian matematik bagi tajuk pecahan untuk pelajar berkeperluan khas
1. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Perisian Matematik bagi Tajuk Pecahan untuk Pelajar Berkeperluan Khas
Khairul Anuar bin Abdul Rahman & Norazrena binti Abu Samah
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak
Penggunaan teknologi dalam pendidikan kini mendapat tempat oleh semua pihak. Penggunaan teknologi
dalam pengajaran dan pembelajaran dipercayai mampu menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan
matematik serta mampu mengubah persepsi pelajar terhadap matematik yang dianggap sukar dan
membosankan. Kesukaran ini lebih dirasai oleh pelajar berkeperluan khas yang mempunyai kekurangan
jika dibandingkan dengan pelajar normal. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi mengkaji keberkesanan
perisian matematik bagi tajuk Pecahan terhadap pencapaian dan keberkesanannya dalam mengatasi
kesilapan pelajar berkeperluan khas dalam tajuk Pecahan. Kajian ini dijalankan berpandukan reka
bentuk kajian pre eksperimental di mana setiap responden diberikan ujian pre, rawatan dan ujian pos.
Perisian yang dibangunkan merupakan kaedah rawatan yang digunakan berikutan kelebihannya dalam
pendidikan yang mampu memberi kesan ingatan dalam tempoh yang panjang. Pembangunan perisian ini
melibatkan elemen multimedia dan visual yang mampu menarik perhatian pelajar yang lemah untuk
menerokai dan mengikuti proses pembelajaran sehingga ke akhir pembelajaran. Perisian ini telah
diimplimentasikan serta diuji keberkesanannya terhadap pencapaian pelajar selepas mengikuti
pembelajaran bagi Tajuk Pecahan berbantukan perisian yang dibangunkan. Hasil penggunaan perisian
ini, di dapati pencapaian pelajar meningkat dan seterusnya kesilapan pelajar dalam tajuk Pecahan
dapat diatasi.
Abdul Rahman, K. A. & Abu Samah, N. (2011). Perisian Matematik bagi Tajuk Pecahan untuk
Pelajar Berkeperluan Khas. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia, 1(2), 39-47.
Pengenalan
Adalah menjadi kewajipan ibu bapa atau penjaga untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak
mereka. Ini selari dengan dasar kerajaan Malaysia iaitu mewajibkan semua kanak-kanak dan remaja
mendapat pendidikan di sekolah. Kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia adalah
untuk semua rakyat Malaysia dan tidak terkecuali kepada golongan kurang upaya atau pelajar
berkeperluan khas. Malah golangan berkeperluan khas ini diberi penekanan dan bimbingan untuk turut
serta dalam pendidikan dinegara ini. Pernyataan ini disokong dengan kewujudan Sekolah Pendidikan
Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang dilaksanakan di sekolah-sekolah harian.
Bahagian Pendidikan Khas melalui Kementerian Pelajaran Malaysia berusaha untuk meningkatkan
kemampuan pelajar berkeperluan khas dengan menyedia dan merangka perkhidmatan pendidikan untuk
pelajar berkeperluan khas yang mempunyai beberapa kategori iaitu masalah pendengaran, penglihatan,
pembelajaran, autisme, down syndrom dan masalah akal.
Menurut Mohd Dan (2007), dalam usaha mendidik dan meningkatkan keupayaan pelajar berkeperluan
khas, silibus yang digubal tidak sama sekali berbeza dengan pelajar normal dari segi penekanan terhadap
perkembangan emosi, rohani, jasmani dan intelek, selari dengan Falsafah Pendidikan Negara. Namun
begitu, dalam mendidik pelajar berkeperluan khas sememangnya berbeza dengan pelajar normal dari segi
penyediaan dan latihan guru, silibus mahupun kemudahan yang disediakan di sekolah-sekolah.
39
2. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Peningkatan bilangan pelajar yang mempunyai masalah kurang upaya menyebabkan perlunya modul atau
latihan khas untuk kanak-kanak istimewa (Lokman et al, 2001). Proses pembelajaran sama ada aktiviti di
dalam dan luar bilik darjah memerlukan perancangan yang teliti kerana golongan ini memerlukan
pemerhatian dan ketelitian oleh guru. Pada dasarnya, pendidik yang terlibat dengan golongan
berkeperluan khas ini perlu menghasilkan aktiviti-aktiviti atau bahan bantu mengajar yang sesuai dengan
kepelbagaian ketidakupayaan yang dialami oleh pelajar di bawah bimbingannya.
Di samping itu, penggunaan komputer dalam pembelajaran bukanlah sesuatu yang baru. Walau
bagaimanapun, penggunaannya lebih tertumpu kepada pelajar normal dengan tujuan meningkatkan
prestasi pembelajaran mereka dan seterusnya meningkatkan prestasi sekolah tersebut. Hal ini
menyebabkan pelajar berkeperluan khas berasa tersisih dan kurang bermotivasi untuk belajar. Tambahan
pula, penggunaan perisian dalam pembelajaran terutamanya dibina mengikut silibus mata pelajaran yang
melibatkan subtopik yang banyak dan pelbagai. Hal ini menjadi bebanan kepada pelajar berkeperluan
khas kerana mereka mempunyai kesukaran untuk menerima input yang banyak dalam satu masa. Oleh
kerana perisian pembelajaran mampu memberi kesan positif ke atas pembelajaran Matematik, beberapa
pengkaji (Mohd Salleh & Chuen, 2002; Bushro & Zaman, 2008) telah menjalankan kajian terhadap
penggunaannya di sekolah. Oleh sebab itu juga, kajian terhadap penggunaan perisian di kalangan pelajar
berkeperluan khas perlu dijalankan bagi memastikan keseimbangan dalam pendidikan yang bukan sahaja
untuk pelajar normal, malah untuk pelajar berkeperluan khas berikutan mereka juga mengikuti silibus
yang sama.
Pernyataan Masalah
Pelajar berkeperluan khas tidak mempunyai tahap kebolehan yang sama dengan pelajar normal. Mereka
menerima dan memproses input pembelajaran dengan kadar yang lebih perlahan jika dibandingkan
dengan pelajar normal. Tambahan, maklumat yang diproses tidak kekal lama dalam ingatan pelajar ini.
Selain itu, pelajar berkeperluan khas mempunyai masalah dalam memberikan tumpuan sepenuhnya
kepada setiap pembelajaran yang diikuti serta cepat merasa bosan dengan pembelajaran yang mereka
diikuti. Oleh kerana menyedari kekurangan yang ada pada diri sendiri, pelajar berkeperluan khas ini
mempunyai tahap motivasi yang rendah dan tidak yakin pada diri sendiri. Kesan daripada perasaan
sebegini membuatkan pelajar-pelajar ini cenderung untuk mengasingkan diri daripada masyarakat dan
lebih gemar untuk bersendirian.
Hal yang demikian juga menyebabkan pelajar berkeperluan khas mempunyai masalah dalam mempelajari
Matematik. Matematik bukanlah matapelajaran yang dianggap senang untuk dipelajari dan mudah untuk
difahami (Marzita, 2002) oleh kebanyakan pelajar. Hal ini membuatkan pemikiran pelajar diracuni
dengan tanggapan yang negatif terhadap mata pelajaran matematik dan seterusnya melahirkan sikap
kurang berminat untuk mempelajari mata pelajaran ini dengan tekun (Norazrena & Shaharuddin, 2011).
Tambahan pula, pengetahuan yang sedikit dalam mata pelajaran matematik memberi impak kepada
pelajar di kemudian hari apabila mempelajari tajuk yang lebih sukar dan semakin abstrak (Azrul Fahmi &
Marlina, 2007).
Matematik merupakan mata pelajaran wajib yang harus dipelajari oleh semua pelajar dan golongan
termasuk pelajar berkeperluan khas. Masalah yang melibatkan matematik tidaklah hanya wujud pada
pelajar normal sahaja tetapi juga kepada pelajar berkeperluan khas. Dengan kepelbagaian kekurangan
yang dimiliki oleh golongan pelajar berkeperluan khas ini dan ditambah pula dengan anggapan yang salah
berkaitan matematik membuatkan pelajar-pelajar ini berasa begitu tertekan serta ketinggalan dalam ilmu
matematik.
40
3. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Oleh yang demikian, perisian matematik barkaitan tajuk pecahan untuk pelajar berkeperluan khas
dibangunkan untuk mengatasi masalah ini. Menurut Jamalludin dan Siti Nurulwahida (2010) serta
Shaharuddin dan Ahmad Khairi (2011), penggunaan elemen multimedia dan visual dalam pembelajaran
mampu membuatkan pelajar yang lemah tertarik, berminat dan berusaha untuk belajar dengan menerokai
dan mengikuti proses pembelajaran. Tambahan pula, elemen multimedia dan visual membuatkan pelajar
yang lemah meningkatkan ingatannya terhadap maklumat yang diproses. Gabungan teks, grafik, audio
dan sebagainya berupaya mempengaruhi motivasi pelajar terhadap proses penerimaan maklumat dan
membawa unsur realistik atau keadaan sebenar kepada pengguna dengan mempengaruhi perasaan dan
emosi penggunanya (Jamalludin & Zaidatun, 2003).
Objektif
Kajian ini dijalankan untuk membangunkan perisian Matematik bagi Tajuk Pecahan untuk pelajar
berkeperluan khas. Seterusnya, keberkesanan perisian yang dibangunkan diuji terhadap pencapaian
pelajar serta kesilapan yang mereka lakukan dalam Tajuk Pecahan.
Metodologi Kajian
Secara keseluruhannya kajian ini merupakan kajian pre eksperimental di mana setiap responden diberikan
ujian pre, rawatan dan ujian pos. Kaedah ini digunakan untuk mengkaji keberkesanan pembangunan
perisian Matematik bagi tajuk pecahan yang dibuat terhadap kemahiran pelajar berdasarkan pencapaian
ujian pre dan ujian pos mereka. Pada peringkat permulaan temubual dilakukan kepada guru matapelajaran
matematik yang mengajar pelajar pendidikan khas. Seterusnya isi kandungan dan aktiviti pembelajaran
didokumenkan untuk pembangunan perisian Matematik. Perisian yang telah dibangunkan diaplikasikan
pada sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, ujian pre dan ujian pos dilakukan terhadap pelajar
untuk mengkaji keberkesanan penggunaan perisian terhadap pelajar pendidikan khas dari segi pencapaian
mereka dalam Ujian Pencapaian 1 dan Ujian Pencapaian 2. Di samping itu, kesilapan yang mereka
lakukan dalam ujian tersebut dianalisis untuk didokumentasikan.
Sampel kajian terdiri daripada 2 orang guru pendidikan khas yang mengajar subjek matematik dan
seramai 9 orang pelajar pendidikan khas yang merupakan responden kajian. Pengguna yang dipilih
merupakan pelajar pendidikan khas kategori masalah pembelajaran yang mempelajari tajuk Pecahan.
Melalui pembelajaran pecahan, pelajar diharap dapat memahami perwakilan pecahan, pecahan setara
serta operasi penambahan dan penolakan yang melibatkan pecahan. Melalui proses pembelajaran ini juga,
diharap pelajar menguasai konsep asas pecahan dan mampu menyelesaikan masalah melibatkan pecahan.
Bagi tujuan analisis data, pengkaji menggunakan program SPSS 16.0 bagi menjalankan ujian t sampel
berpasangan. Di samping itu, skrip jawapan pelajar dianalisa bagi mengenal pasti dan membandingkan
kesilapan yang mereka lakukan dalam Ujian Pencapaian 1 dan Ujian Pencapaian 2. Kemudian, markah
dan kesilapan pelajar dalam kedua-dua ujian direkodkan dan dirumuskan.
Tajuk dan isi kandungan merupakan elemen yang menjadi keutamaan dalam membangunkan perisian
Matematik. Tahap keupayaan pelajar disesuaikan dengan tajuk pembelajaran yang dibangunkan untuk
menghasilkan integrasi yang seimbang antara tahap pelajar dengan kemahiran yang diikuti. Disamping
pemilihan isi kandungan, objektif pembelajaran juga dinyatakan pada peringkat awal pembelajaran iaitu
di halaman utama perisian (rujuk Rajah 1) supaya pengguna memahami tujuan pembelajaran berasaskan
perisian ini. Pembelajaran dalam perisian ini adalah ringkas dan jelas bagi mengelakkan beban kognitif
(cognitive load) berikutan tahap kognitif pelajar berkeperluan khas adalah lebih rendah berbanding
pelajar normal. Rajah 2 merupakan antara muka halaman pembelajaran dalam perisian yang dibangunkan.
41
4. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Perisian ini dibangunkan menggunakan perisian Macromedia Authorware 7.0 sebagai alat pengarang.
Bagi membangunkan sistem yang memenuhi keperluan pengguna, pembangun memilih untuk
membangunkan perisian yang mempunyai elemen-elemen visual dan audio dalam mempersembahkan
maklumat yang membolehkan pengguna memproses maklumat dengan lebih cepat, kekal lama dan
meningkatkan tahap pembelajaran (Shaharuddin & Ahmad Khairi, 2011). Selain itu sistem ini
dibangunkan dengan elemen multimedia dimana elemen ini mampu menarik perhatian dan minat
pengguna untuk menerokai sehingga tamat dan berupaya mempengaruhi motivasi pengguna terhadap
proses penerimaan maklumat (Jamalludin & Zaidatun, 2003). Hal ini turut disokong oleh Rahayu dan
Maria (2010) yang berpendapat bahawa elemen multimedia dan elemen visual merupakan kaedah
penyaluran maklumat yang amat menarik serta merupakan media yang dinamik dan efektif dalam
menyampaikan sesuatu maklumat.
Rajah 1 Halaman Utama Perisian Rajah 2 Halaman Pembelajaran Pecahan
Dapatan Kajian
Hasil daripada kajian yang dijalankan ke atas pelajar pendidikan khas yang terlibat, didapati pencapaian
mereka dalam Tajuk Pecahan meningkat setelah belajar menggunakan perisian yang dibangunkan. Jadual
1 menunjukkan markah pelajar dalam ujian pencapaian 1 dan 2.
Jadual 1 Markah Ujian Pencapaian 1 dan Ujian Pencapaian 2
Pelajar Ujian Pencapaian 1 (%) Ujian Pencapaian 2 (%)
A 0 87
B 0 87
C 33 53
D 13 93
E 0 40
F 0 100
G 19 100
H 10 100
I 0 83
42
5. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Kemudian, pengkaji menjalankan Ujian T Sampel Berpasangan terhadap markah pelajar dalam Ujian
Pencapaian 1 dan Ujian Pencapaian 2. Ujian ini dijalankan bagi mengenal pasti perbezaan signifikan
antara markah pelajar dalam Ujian Pencapaian 1 (Ujian1) dan markah pelajar dalam Ujian Pencapaian 2
(Ujian2). Jadual 2, Jadual 3 dan Jadual 4 menunjukkan keputusan daripada Ujian T Sampel Berpasangan
yang telah dijalankan menggunakan perisian SPSS 16.0.
Jadual 2 Statistik Sampel Berpasangan
Purata Sisihan
Purata N Sisihan Piawai Piawai
Pasangan 1 Ujian1 8.33 9 11.694 3.898
Ujian2 82.56 9 21.640 7.213
Jadual 3 Korelasi Sampel Berpasangan
N Korelasi Sig.
Pasangan 1 Ujian1 &Ujian2 9 -.165 .672
Jadual 4 Ujian Sampel Berpasangan
Perbezaan Berpasangan
Purata 95% Selang Kepercayaan
Sisihan Sisihan bagi Perbezaan Sig.
Purata Piawai Piawai Bawah Atas t df (2-hujung)
Pasangan 1 Ujian1
-74.222 26.238 8.746 -94.391 -54.054 -8.486 8 .000
Ujian2
Berdasarkan keputusan yang diperoleh dalam ujian tersebut, markah dalam Ujian Pencapaian 1 dan
markah dalam Ujian Pencapaian 2 adalah signifikan kerana nilai p iaitu 0.000 adalah lebih kecil daripada
nilai alpha, 0.05. Di samping itu, Eta kuasa dua yang diperoleh berdasarkan keputusan Ujian T Sampel
Berpasangan adalah 0.9. Menurut Cohen (1988) nilai ini menunjukkan bahawa terdapat kesan yang besar
berikutan penggunaan perisian terhadap perbezaan markah pelajar dalam Ujian Pencapaian 1 dan 2. Di
samping itu, pengkaji turut menganalisa setiap skrip jawapan pelajar bagi mengenal pasti kesilapan yang
dilakukan mereka dalam Ujian Pencapaian 1 dan 2. Jadual 5 menujukkan rumusan kesilapan yang
dilakukan pelajar dalam tajuk pecahan.
43
6. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Jadual 5 Rumusan Kesilapan Yang Dilakukan Pelajar
Bil. Jenis Kesilapan Contoh Soalan Contoh Kesilapan
1. Gagal dalam memahami Senaraikan 3 pecahan yang 1
pecahan setara setara dengan ½. 1. 3 =4
2
2. 1÷2 = 4
2. Kesilapan dalam 8
perwakilan pecahan Pelajar menjawab
12
di mana 8 merupakan jumlah
kawasan yang berlorek dan 12
merupakan jumlah kawasan yang
tidak berlorek.
Pecahan yang mewakili
kawasan yang berlorek
ialah.
3. Gagal memahami 2 1 21 55
pecahan Selesaikan + + 34 + 34
3 4
55 89
4. Kesilapan dalam 3 1 3 1 3
operasi penambahan Selesaikan + + =
4 4 4 4 2
pecahan
3 1 4
+ =
4 4 8
5. Kesilapan dalam 5 1 5 1 4
operasi penolakan Selesaikan – 1. – =
6 3 6 3 3
pecahan
5 1 4 3 2 1
2. – = – – =
6 3 6 4 3 2
5 1 4 3 1
3. – = – =
6 3 3 3 3
Di samping itu, skrip jawapan juga dianalisa bagi mengenal pasti sama ada kesilapan tersebut telah atau
tidak diatasi setelah belajar menggunakan perisian Matematik bagi Tajuk Pecahan untuk pelajar
berkeperluan khas. Jadual 6 menunjukkan pelajar yang melakukan kesilapan dalam Ujian Pencapaian 1
dan Ujian Pencapaian 2.
44
7. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Jadual 6 Rumusan Kesilapan Pelajar
Pelajar Terlibat
Bil. Jenis Kesilapan
Ujian Pencapaian 1 Ujian Pencapaian 2
1. Gagal memahami pecahan Pelajar A (diatasi)
2. Gagal memahami pecahan Pelajar A (diatasi)
setara Pelajar B (diatasi)
Pelajar D (diatasi)
Pelajar E (diatasi)
Pelajar F (diatasi)
3. Kesilapan dalam perwakilan Pelajar A (diatasi)
pecahan Pelajar B (diatasi)
Pelajar C (diatasi)
Pelajar E (diatasi)
Pelajar F (diatasi)
Pelajar G (diatasi)
Pelajar H (diatasi)
Pelajar I (diatasi)
4. Kesilapan dalam operasi Pelajar A (diatasi)
penambahan pecahan Pelajar B (diatasi)
Pelajar C Pelajar C
Pelajar D (diatasi)
Pelajar E Pelajar E
Pelajar F (diatasi)
Pelajar G (diatasi)
Pelajar H (diatasi)
Pelajar I (diatasi)
5. Kesilapan dalam operasi Pelajar A (diatasi)
penolakan pecahan Pelajar B Pelajar B
Pelajar C Pelajar C
Pelajar D (diatasi)
Pelajar E Pelajar E
Pelajar F (diatasi)
Pelajar G (diatasi)
Pelajar H (diatasi)
Pelajar I Pelajar I
45
8. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Perbincangan
Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi, prestasi semua pelajar telah meningkat setelah belajar
menggunakan perisian yang dibangunkan. Terdapat juga di antara mereka yang memperoleh markah
penuh dalam Ujian Pencapaian 2 walaupun gagal memperoleh sebarang markah dalam Ujian Pencapaian
1. Hal ini membuktikan bahawa mereka mampu memperoleh pencapaian yang baik setelah belajar
menggunakan perisian multimedia yang dibangunkan. Hal tersebut menyokong dapatan yang diperolehi
oleh Jamalludin dan Siti Nurulwahida (2010) serta Shaharuddin dan Ahmad Khairi (2011) di mana
teknologi terutama Perisian dalam pendidikan mampu meningkatkan prestasi pelajar dalam pembelajaran
matematik. Kaedah rawatan yang diberikan ini memberikan kesan yang positif seperti yang diharapkan
dimana setiap kesalahan yang dilakukan oleh pelajar pada Ujian Pencapaian 1 dapat diatasi pada Ujian
Pencapaian 2. Keberkesanan perisian yang dibangunkan ini membuktikan elemen visual dan audio
mampu menarik perhatian para pelajar untuk menerokai dan mengikuti aktiviti pembelajaran yang sedang
diikuti. Walau bagaimanapun, masih terdapat pelajar yang melakukan kesilapan yang sama kerana
kelalaian pelajar semasa proses pembelajaran. Tambahan pula masa pembelajaran yang singkat
menyebabkan pelajar-pelajar berkeperluan khas ini gagal menguasai sepenuhnya pembelajaran yang
diikuti.
Penutup
Perisian Matematik bagi Tajuk Pecahan untuk pelajar berkeperluan khas telah berjaya dibangunkan.
Perisian yang telah dibangunkan ini menggunakan perisian Macromedia Authorware 7.0 serta
menggabungkan elemen-elemen multimedia iaitu teks, grafik, animasi dan audio bagi menyediakan
medium pembelajaran yang menarik dan efektif. Walaupun perisian ini dibangunkan khusus untuk pelajar
berkeperluan khas, namun perisian ini juga sesuai digunakan dalam penerapan konsep asas pecahan
dikalangan pelajar normal. Pembangun berharap agar perisian ini dapat membantu guru-guru dalam
menerapkan pemahaman berkaitan tajuk pecahan kepada pelajar. Pembangun juga berharap agar perisian
ini dapat membantu pelajar dalam menguasai dan mengukuhkan pengetahuan mereka dalam
pembelajaran Pecahan. Seterusnya, diharapkan agar pembangunan perisian ini dapat mengatasi masalah
kesukaran dan kesilapan yang berlaku dalam tajuk Pecahan.
Rujukan
Abu Samah, N. dan Md Salleh, S. (2011). Laman Web Matematik bagi tajuk Kebarangkalian
berpandukan Sembilan Aspek Pengajaran Gagne dan Teori Perlaziman Operan. Jurnal Teknologi
Pendidikan Malaysia, 1(1), 63-73.
Azrul Fahmi Ismail dan Marlina Ali (2007). Analisis Kesilapan dalam Tajuk Ungkapan Algebra di
kalangan Pelajar Tingkatan Empat. UTM. Tesis Sarjana Muda.
Bushro Ali dan Halimah Badioze Zaman. (2008). Kejuruteraan Perisian Kursus Multimedia Matematik
Berasaskan Model Kecerdasan Pelbagai (MI-mathS). Jurnal Teknologi Maklumat & Multimedia,
5, 41-63.
Cohen, J. (1988). Statistical Power Analysis for the Behavioral Sciences (2nd Edition ed.): Hillsdale, N.J.
: L. Erlbaum Associates.
Jamalludin Harun dan Zaida Tasir. (2003). Multimedia Dalam Pendidikan: PTS Publication: Bentong.
Jamalludin Harun dan Siti Nurulwahida Zainal Abidin (2010). Pembangunan Modul Pembelajaran
Berbantukan Video Interaktif Bagi Pembelajaran Pengaturcaraan Visual Basic Berdasarkan
Pendekatan Projek. http://community.my/pendidikan khas (dicapai pada 28 Julai 2007).
Lokman Mohd Tahir, Nurul Qistin Mustafa dan Mohd Hanafi Mohd Yassin (2009). Pendidikan Teknik
Dan Vokasional Untuk Pelajar Berkeperluan Khas. Jurnal Pendidik dan Pendidikan (Jil. 24), 73–
87.
46
9. Jurnal Teknologi Pendidikan Malaysia
Jilid 1, Nombor 2, Jun 2011
Marzita Puteh (2002). Factors Associated with Mathematics Anxiety. Tanjong Malim: Penerbit UPSI.
Mohd Dan Yusof. (2007). Pendidikan Khas online bersama Mohd Dan bin Yusof.
Mohd Salleh Abu dan Tan Wee Chuen (2002). Analisis Keberkesanan Penggunaan Perisian
Pembelajaran Matematik VATrans yang Berasaskan Pendekatan Penggabungan Pemikiran
Visualisasi dan Analisis. Jurnal Teknologi Keluaran Khas, 36 (E), 75-86.
Noveandini, R. dan Wulandari, M. S. (2010). Pemanfaatan media pembelajaran secara online (e-
learning) Bagi wanita karir dalam upaya meningkatkan efektivitas dan Fleksibilitas pemantauan
kegiatan belajar anak siswa/i Sekolah dasar. Paper presented at the Seminar Nasional Aplikasi
Teknologi Informasi 2010 (SNATI 2010).
Shaharuddin Md Salleh dan Ahmad Khairi Mohd Ali (2011). Pembangunan Web E-Pembelajaran
Menggunakan Elemen Video Dalam Topik ‘Work And Energy’ Berasaskan Teori
Konstruktivisme Sosial.
47