1. B
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)
35900 TANJONG MALIM
PERAK DARUL RIDZUAN
KETERAMPILAN MEMBACA
(BML 1143)
SEMESTER 5 SESI 2010/2011
TUGASAN KUMPULAN:
“Masalah membaca adalah berpunca daripada pelbagai faktor dalaman
dan luaran. Jelaskan kedua-dua faktor tersebut dengan memberi contoh
yang sesuai.”
PENSYARAH PEMBIMBING:
PROFESOR. DR. MAHZAN ARSHAD
NAMA NO. MATRIK KOD
PROGRAM
AMIRUDDIN KHAKIM BIN FANANI D20031032164 AT 10
EFFY HARIDTH BIN ROZHAN D20081033043 AT 41
2. FAKTOR LUARAN DAN DALAMAN MASALAH MEMBACA
Membaca merupakan satu amalan yang mulia dalam memperoleh
pengalaman dan maklumat. Membaca juga merupakan satu proses yang perlu
dilakukan oleh semuia golongan tanpa mengira peringkat umur, darjat dan pangkat.
Terdapat kata hikmah yang merujuk kepada kelebihan membaca iaitu membaca
jambatan ilmu. Kata hikmah ini menjelaskan bahawa dengan membaca, seseorang
akan memperoleh pelbagai ilmu dan pengetahuan sebagai panduan dalam
kehidupan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, membaca didefinisikan sebagai
mengucap apa yang bertulis atau tercetak pada buku, papan tanda atau sebagainya
secara lisan dengan kuat. Harris dan Sipay (1980), mendefinisikan membaca
sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna tentang lambang-lambang
bercorak atau bertulis. Manakala Kennedy (1981), mendefinisikan membaca
sebagai keupayaan seseorang untuk mengecam bentuk visual (lambang-lambang
grafik yang mewakili bahasa atau perkataan), menghubungkan bentuk itu dengan
bunyi atau makna yang diketahui seterusnya memahami dan mentafsir maksudnya
berdasarkan pengalaman lalu. Marohaini Yusof (1989) merumuskan membaca
merupakan perlakuan yang kompleks dan tidak dapat diperhatikan. Cuma dua
kemahiran utama yang diperakui wujud dalam membaca iaitu kemahiran mengecam
perkataan dan kemahiran memahami maklumat yang dibaca.
Berdasarkan definisi yang diberikan, dapat dirumuskan bahawa proses
memperoleh maklumat melalui gabungan beberapa proses kompleks iaitu proses
3. sensori, pengamatan, linguistik dan kognitif. Setiap proses ini memainkan peranan
penting dalam proses keseluruhan membaca. Tanpa hubungkait antara setiap
proses kompleks tersebut, proses membaca tidak akan dapat berlaku dengan baik,
selain matlamat yang hendak dicapai melalui proses membaca tidak akan tercapai.
Kegagalan penyaluran maklumat sewaktu proses membaca adalah
disebabkan berlakunya kegagalan salah satu proses kompleks sama ada proses
sensori, proses pengamatan, proses linguistik dan proses kognitif. Secara amnya,
tidak ada satu faktor pun yang boleh dikatakan faktor yang menyebabkan seseorang
itu boleh membaca atau tidak. Menurut Marohaini Yusoff (1999), faktor-faktor yang
mempengaruhi kebolehan membaca seseorang adalah pelbagai dan saling
berkaitan antara satu sama lain.
Oleh yang demikian, faktor-faktor yang mempengaruhi masalah membaca
seseorang perlu dikenalpasti dan diteliti lebih mendalam bagi mencari kaedah
bersesuaian dalam mengatasi masalah yang berlaku. Kaedah, teknik, bahan, alatan
dan pendekatan sesuai perlu dipilih bagi membolehkan masalah membaca diatasi.
Faktor-faktor yang mempengaruhi masalah membaca terbahagi dua iaitu faktor
dalaman dan faktor luaran.
Faktor Dalaman yang mempengaruhi masalah membaca berpunca dari
dalam diri pembaca (murid) itu sendiri. Dalam faktor dalaman ini, pembaca
mengalaman masalah dari aspek kognitif atau inteleknya sendiri. Selain itu, masalah
dalaman yang wujud dalam diri pelajar yang menyebabkan sebilangan daripada
mereka mengalami masalah membaca itu sendiri ialah aspek psikologi. Sebagai
4. intinya, masalah ini dipengaruhi oleh pelajar dan bukannya dipengaruhi oleh
masalah luaran. Walaupun faktor dalaman dan luaran adalah berbeza namun
iannya saling berkaitan dan memberi kesan antara satu sama lain.
Menurut Marohaini Yusoff (1999), Faktor dalaman yang mempengaruhi
masalah pembacaan pembaca (murid) dalam aspek intelektual adalah seperti
kecerdasan, kebolehan berbahasa, dan pengalaman sedia ada.
Aspek kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca saling berkait. Sekiranya
pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, nescaya mereka
mampu untuk memberi perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca
lebih mudah tanpa perlu menggulang dan meneliti berulang kali. Perkara ini
menampakkan perbezaan ketara sekiranya perbandingan dibuat dengan pelajar
yang mempunyai tahap kecerdasan yang lebih rendah. Golongan pelajar yang
mempunyai tahap kecerdasan yang rendah ini akan mengambil masa yang lebih
lama untuk memahamkan sesuatu bahan yang dibaca. Menurut Roe, Stoodt dan
Burn (1978), pertalian yang rapat antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini
lebih ketara dalam kalangan pelajar (pembaca) pada peringkat menengah daripada
murid peringkat rendah. Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar
diperingkat menengah kerana kecerdasan dan kemampuan untuk memahami
struktur ayat yang lebih kompleks dan canggih. Kesannya, pelajar yang mempunyai
tahap kemampuan kecerdasan akal yang rendah akan mengalami kesukaran untuk
mengejar dan bersaing dalam matapelajaran yang dipelajarinya.
5. Pengetahuan sedia ada yang terbatas juga merupakan salah satu faktor
dalaman pembaca (pelajar) yang mengalami masalah membaca. Pengalaman sedia
ada ini diperolehi daripada kehidupan seharian pembaca. Kesemua pengalaman
dan pengetahuan sedia ada ini diperolehi di rumah, didikan ibu bapa, sekolah,
sosiobudaya dan sebagainya. Sekiranya seseorang pembaca itu hidup dalam
suasana keluarga yang mempunyai tabiat membaca, nescaya pembaca tersebut
akan terdorong untuk membaca walaupun secara tidak langsung. Sememangnya
pengaruh persekitaran berkait rapat dengan pengalaman sedia ada seseorang
pembaca untuk mengukur tahap kebolehan membaca dengan lancar dan kemudah
fahaman terhadap sesuatu yang dibaca. Kadang-kala terdapat juga sebilangan kecil
pembaca yang hidup disuasana budaya membaca namun, kefahaman dan
kemudahfahaman sesuatu yang dibaca ditahap yang rendah. Hal ini sememangnya
tidak dinafikan, walaupun suasana persekitaran pelajar mengalakkan membaca
tetapi tahap kemampuan kognitif pembaca tersebut ditahap yang rendah untuk
menerima dan menilai sesuatu amalan tersebut khususnya membaca.
Kebolehberbahasaan merupakan salah satu perkara yang besar mendorong
ke arah masalah membaca. Pembaca yang tidak luas tahap pembacaan dan lemah
dalam tatabahasa ditambah pula dengan kehidupan dalam masyarakat yang
menggunakan bahasa dialek kedaerahan manambahkan lagi masalah kesukaran
seseorang pembaca untuk membaca. Mungkin mereka mampu untuk memahamkan
diri mereka apa yang dibaca dan mungkin juga mereka manghadapi masalah
penyampaian terhadap sesuatu struktur ayat yang dibaca. Hal ini demikian kerana,
sekiranya seseorang pembaca itu bertutur dalam dealek kenegerian, nescaya
6. pembaca tersebut mengalami kesukaran untuk menyampaikan maklumat yang
dibaca kepada orang lain. Pembaca tersebut hanya memahami perkara yang dibaca
untuk dirinya sahaja dan bukannya menyampaikan perkara yang dibaca kepada
orang lain.
Menurut Marohaini Yusoff (1999), Faktor dalaman yang mempengaruhi
masalah pembacaan pembaca (murid) dalam aspek psikologi adalah seperti minat,
motivasi dan konsep diri. Kesemua perkara yang dinyatakan sebenarnya
merangkumi motivasi intrinsik iaitu motivasi dari dalam diri pembaca itu sendiri.
Minat dan motivasi memainkan peranan yang amat besar bagi memupuk
kebolehan membaca dalam kalangan pelajar. Kemahiran membaca sebenarnya
memerlukan pembelajaran berterusan untuk memahirkan seseorang pelajar dengan
huruf-huruf dan struktur ayat. Maka, minat dan motivasi amat diperlukan seseorang
pelajar untuk menyemai minat membaca. Menurut Sylvia Ashton Warner (1973),
satu kaedah untuk meningkatkan minat membaca dan memotivasikan pelajar
membaca dengan menggunakan cerita-cerita yang dibuat oleh pelajar sendiri
berdasarkan topik-topik yang diminatinya.
Pada kebiasaanya, pelajar akan tertarik sesuatu bahan bacaan yang menarik
minatnya. Sekiranya sesuatu bahan bacaan yang dapat menarik minat mereka,
maka mereka akan terus membaca walaupun sesuatu bahan bacaan yang dibaca
itu dianggap susah berdasarkan peringkat umur mereka. Dalam konteks ini, guru
perlu peka terhadap persekitaran yang berlaku di sekeliling pelajat supaya pelajar
lebih minat untuk menerapkan minat pembacaan dari awal usia lagi. Guru perlu
7. mencari suatu kaedah bagaimana menunjukkan kepentingan membaca dengan
menjadikan membaca sebagai suatu amalan hidup. Program Buku Nilam perlu
kerap dianjurkan dan pengisisannya perlu menarik minat pelajar. Bagi pelajar yang
mempunyai masalah membaca dan tahap kebolehan membaca adalah tahap paling
rendah. Program Intervensi Awal Membaca dan Menulis (KIA2M) perlu dilaksanakan
bagi mengatasi masalah pelajar yang lambat atau belum menguasai kemahiran
asas membaca dan menulis. Setiap kelas dan rumah perlu mempunyai bahan
bacaan seperti majalah kanak-kanak supaya minat terhadap pembacaan disemai
sejak dari kecil lagi.
Keadaan perasaan murid tentang diri mereka juga mempengatuhi
pencapaian kebolehan membaca. Menurut Roe, Stoodt, dan Burns (1978), konsep
diri merupakan satu set kepercayaan dan sikap seseorang individu yang
mempercayai kebolehan dirinya. Pelajar yang mempunyai konsep diri yang negatif,
biasanya kurang keyakinan tentang kebolehan diri dan berperasaan rendah diri.
Pelajar yang yakin kepada dirinya sendiri biasanya akan berjaya jika hendak
dibandingkan dengan pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif. Sebagai
contoh yang boleh diambil dalam memberi pengertian mengenai konsep diri positif
dan negatif, kebolehan seseorang pembaca memahami struktur ayat Bahasa
Inggeris. Pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang positif akan mampu
membaca dan memahaminya walaupun terpaksa membuka kamus. Namun
sebaliknya berlaku kepada pelajar yang mempunyai konsep kendiri yang negatif,
sekiranya persepsi mereka mengataka mereka tidak minat maka mereka langsung
untuk mencuba memahami struktur sesuatu ayat tersebut. Secara umumnya,
8. masalah membaca yang berpunca dari dalam diri adalah berbeza dengan faktor
luaran namun ianya saling berkai dan memberi kesan terhadap satu sama lain.
Faktor luaran dalam masalah membaca merupakan faktor yang bukan
berpunca dari dalam diri seseorang individu tetapi faktor yang dapat dilihat dan
diketahui menyebabkan seseorang itu mempunyai masalah dalam membaca.
Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca masalah membaca. Ianya berkaitan
dengan faktor fizikal pembaca, persekitaran dan bahan bacaan itu sendiri. Faktor-
faktor yang dinyatakan ini sangat mempengaruhi pembacaan seseorang
terutamanya faktor fizikal yang jelas menghalang seseorang membaca dan
memahami pembacaan dengan baik seperti yang sepatutnya.
Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, fizikal bermaksud jasmani atau sesuatu
yang bukan kebendaan atau keadaan alam semula jadi. Berkenaan dengan faktor
yang menyebabkan masalah bacaan, fizikal merupakan masalah yang dapat dilihat
dan dikenalpasti menjadi punca kepada masalah yang berlaku. Faktor fizikal yang
berkaitan dengan masalah membaca ialah daya penglihatan dan pendengaran.
Kebolehan melihat merupakan sesuatu yang sangat penting dalam proses
membaca kerana membaca memerlukan keupayaan melihat untuk mengenalpasti
kod atau lambang bercetak untuk difahami dalam bentuk maklumat. Tanpa
penglihatan yang baik, seseorang tidak mungkin dapat membaca dengan baik.
Menurut Marohaini Yusoff (1999), proses membaca bermula dengan melihat dan
mengecam perkataan atau lambang-lambang bahasa yang hendak dibaca.
Walaupun penyelidikan tidak dapat menegaskan perhubungan yang nyata antara
9. daya penglihatan dengan kebolehan membaca, namun banyak masalah ditemui
berkaitan pembacaan. Pembaca yang lemah sering menghadapi beberapa masalah
penglihatan untuk membuat diskriminasi terhadap huruf dan perkataan.
Contoh kesan masalah penglihatan terhadap keberkesanan membaca adalah
seperti kesukaran seorang yang rabun mengecam perkataan dalam bacaan.
Disebabkan masalahnya, seseorang itu tidak dapat mengetahui apa yang dibacanya
dengan tepat, seterusnya mengagalkan proses pemahaman bacaan yang
seharusnya berlaku sewaktu proses pembacaan.
Selain masalah penglihatan yang dialami, masalah pendengaran merupakan
salah satu faktor fizikal yang menyumbang kepada masalah membaca.
Pendengaran mempengaruhi keberkesanan bacaan kerana ia mempunyai kaitan
antara bacaan lisan dengan tulisan. Pembaca akan membaca dengan menyebut
perkataan yang tercatat dan mentafsirkannya sebagai maklumat. Seseorang yang
mempunyai masalah pendengaran tidak dapat membentuk bunyi yang betul melalui
tulisan yang dibacanya. Hal ini membuatkan maklumat yang betul sukar
disampaikan. Bagaimanapun, adakalanya maklumat dapat disampaikan dengan
tepat sekiranya penulisan tersebut berbentuk ringan.
Berdasarkan Roe, Stoodt dan Burns (1978), ujian saringan pendengaran boleh
dilakukan oleh guru jika murid menunjukkan tanda-tanda seperti meminta satu
penerangan diulang-ulang, ucapan dan penyebutan tidak jelas, mulut bergerak
seolah mengajuk percakapan ketika mendengar, kepala menyenget ketika
10. mendengar, lemah mengeja, sangat kurang perhatian, sering menguatkan suara
ketika membaca, sering demam, serta telinga berair atau bernanah.
Contoh mudah berkenaan masalah pendengaran ialah orang pekak. Orang
pekak mengalami masalah dalam berbahasa disebabkan tidak pernah mendengar
dan menghasilkan bunyi bahasa yang betul. Oleh itu, orang pekak tidak dapat
memahami bahasa yang disampaikan oleh orang normal sepenuhnya walaupun ia
berbentuk tulisan. Penulisan yang abstrak atau menggunakan bahasa yang tinggi
lebih menyukarkan pemahaman orang pekak terhadap apa yang ingin disampaikan
melalui penulisan itu.
Masalah membaca turut dipengaruhi oleh persekitaran kerana setiap kali
aktiviti membaca berlaku, ia pasti akan melibatkan persekitaran terutamanya
persekitaran rumah dan persekitaran sekolah. Suasana persekitaran ketika
membaca akan memberi kesan sama ada proses membaca berjaya atau gagal.
Marohaini Yusoff (1999) menyatakan terdapat beberapa perkara yang
berkaitan dengan persekitaran rumah. Antaranya ialah sosiobudaya di rumah,
kestabilan sosial, corak interaksi sesama isi rumah, dan sosioekonomi. Jika perkara-
perkara tersebut berada dalam keadaan baik, murid akan mempunyai
perbendaharaan kata yang lebih baik berbanding murid yang mengalami latar
belakang yang kurang cemerlang mengurangkan perbendaharaan kara mereka. Ia
juga berlaku terhadap pengalaman sedia ada murid kerana pengalaman sedia ada
juga turut mempengaruhi keberkesanan proses membaca.
11. Pearson dan Johnson (1978) mengatakan bahawa guru, rakan sebaya dan
ekologi bilik darjah mempengaruhi bacaan dan kefahaman. Kegiatan guru dan
rakan-rakan lain mempengaruhi pencapaian membaca murid. Guru bertindak
sebagai pencetus kepada keinginan membaca, manakala rakan sebaya pula
menjadi pemangkin kepada minat untu terus membaca. Secara ringkasnya, guru
dan rakan sebaya bertindak secara tidak langsung sebagai perangsang untuk
seseorang murid membaca. Rangsangan yang baik membolehkan murid membaca
dengan baik, tetapi rangsangan yang negatif akan memberikan hasil yang negatif
juga.
Marohaini Yusoff (1999) menegaskan, keupayaan seseorang memahami
sesuatu bacaan dipengaruhi juga oleh bahan bacaan tersebut. Bahan bacaan
mempengaruhi bacaan pembaca melalui pelbagai aspek. Antara aspek tersebut
ialah perbendaharaan kata yang terdapat dalam bahan bacaan, penggunaan ayat
sama ada mudah atau abstrak, isi kandungan bacaan, serta penggunaan bahan
grafik untuk menarik minat pembaca. Bagaimana seseorang boleh tertarik untuk
membaca atau meneruskan pembacaan seandainya bahan bacaan tersebut tidak
mempunyai daya tarikan terhadap pembaca? Contoh masalah yang berpunca dari
bahan bacaan ialah ketika seseorang membaca bahan ilmiah. Bahan ilmiah yang
kompleks memerlukan penerangan yang lengkap selain sesuatu untuk memberi
gambaran supaya pembaca mudah faham dengan apa yang dibaca.
Aspek-aspek yang dinyatakan memainkan peranan penting dalam
menjadikan bahan bacaan menarik dan mudah difahami. Dengan daya tarikan serta
tahap kemudahan bahan bacaan, seseorang yang membacanya lebih mudah
12. tertarik untuk meneruskan bacaan selain memudahkan pemahaman melalui bacaan
tersebut. Dengan pemahaman tentang bahan bacaan, matlamat proses membaca
akan berjalan dengan baik.
Kefahaman tentang konsep membaca adalah perlu untuk memastikan
seseorang tahu matlamat proses pembacaan. Bagaimanapun, masalah-masalah
yang berkaitan dengan proses membaca juga perlu diteliti bagi membolehkan
sebarang tindakan meningkatkan bacaan boleh dilakukan. Melalui penelitian yang
dijalankan, faktor-faktor yang menyumbang kepada kegagalan memperoleh
maklumat dan ilmu daripada proses membaca dapat dikurangkan. Selain itu, lebih
ramai orang akan dapat menguasai konsep sebenar pembacaan seterusnya
menjadikan membaca sebagai budaya masyarakat.
13. RUJUKAN
Awang Sariyan (2004) Teras Pendidikan Bahasa Melayu – Asas Pegangan Guru.
Kuala Lumpur: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Henry Guntur Tarigan (1994) Membaca Sebagai Suatu Keterampilan Berbahasa.
Bandung: Angkasa Bandung
Mahzan Arshad (2007) Pendidikan Literasi Bahasa Melayu – Satu Pendekatan
Bersepadu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Marohaini Yusoff (1999) Strategi Pengajaran Bacaan dan Kefahaman. Kuala
Lumpur: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka
Noresah Baharom (1997). Kamus Dewan Edisi Ke-3: Kuala Lumpur. Dewan Bahasa
dan Pustaka.