3. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
Tajuk Kajian : Penilaian Pelaksanaan Pengajaran Mata Pelajaran Pengajian
Islam di Institusi Pengajian Tinggi MARA di negeri Selangor
1.0 Bibliografi Beranotasi
1.1 Artikel 1
1.1.1 Perincian bibliografi artikel mengikut Gaya Penulisan UKM
Sarimah Abd Razak, Ramlah Hamzah, Rosini Abu dan Zakaria Kasa.
2010. Motivasi Pelajar Sekolah Menengah Teknik dan Persepsi
Mereka Terhadap Pengajaran Guru. Jurnal Penyelidikan
Pendidikan, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar
Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Jil. 11: 105-131
1.1.2 Tujuan utama artikel
Tujuan utama kajian ini ialah untuk menentukan tahap motivasi intrinsik
pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan mengenalpasti persepsi pelajar
terhadap penyampaian pengajaran guru. Kajian ini adalah bertitik tolak daripada
dapatan kajian yang mengkaji pelaksanaan kurikulum Tech Prep di Sekolah
Menengah Teknik oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2001 yang
mendapati bahawa pelajar di SMT yang dikaji kurang bermotivasi dalam
mengikuti pelajaran. Kajian tersebut juga mendapati pendekatan pengajaran
yang berpusat kepada guru masih lagi mendominasi bilik darjah di SMT. Kuliah,
penghafalan, mengingat semula dan penggunaan soalan retorik menjadi kaedah
utama pengajaran dan pembelajaran berbanding dengan penyelesaian masalah
dan berfikir secara kritis.
1.1.3 Kaedah Kajian
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan yang menggunakan inventori
piawai dan soal selidik. Reka bentuk persampelan pelbagai tahap digunakan
dalam persampelan pemilihan sampel yang terdiri daripada 635 orang pelajar
SMT seluruh Malaysia. Data dikutip melalui teknik soal selidik yang dibahagi
kepada dua bahagian iaitu, Bahagian 1 berkaitan demografi responden dan
3
4. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
Bahagian 2 mengandungi dua instrumen yang mengukur pemboleh ubah yang
dikaji, iaitu Inventori Motivasi Intrinsik oleh Deci dan Ryan (1985) dan Soal
Selidik “ Persepsi pelajar terhadap penyampaian pengajaran guru”
1.1.4 Rumusan Dapatan Kajian
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pelajar mempunyai motivasi
instrinsik bertahap sederhana. Persepsi pelajar terhadap penyampaian guru
mereka pula berada di tahap tinggi.
1.1.5 Hasil perbincangan dan hujah terpenting kajian
Motivasi intrinsik yang bertahap sederhana amat membimbangkan
kerana ini akan menyebabkan pelajar kurang menunjukkan tingkah laku mencari
situasi yang menyediakan cabaran yang membolehkan mereka menggunakan
kebolehan mereka pada tahap optimum. Selain itu, guru juga didapati jarang
atau tidak pernah menggunakan alat pandang dengar dan alat bantu mengajar
serta penglibatan pelajar dalam membuat refleksi, sorotan dan rumusan.
Sekalipun persepsi pelajar terhadap pengajaran guru adalah tinggi tetapi
kekurangan ini memberi impak yang besar kepada perkembangan kognitif
pelajar.
1.1.6 Kerelevanan artikel dengan kajian
Artikel ini sangat relevan dengan kajian melalui instrumen yang
dibangunkan di dalam menilai persepsi pelajar terhadap pengajaran guru
mereka. Soal selidik telah dibina berdasarkan ciri-ciri pengajaran berkesan yang
dikemukakan oleh Cruickshank, Bainer dan Metcalf (1995), Joyce, Calhoun dan
Hopkins (1997), Ormrod (2000) serta Eggen dan Kauchak (2001)
4
5. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
1.2 Artikel 2
1.2.1 Perincian bibliografi artikel mengikut Gaya Penulisan UKM
Zamri Mahamod, Celinea anak Lasan dan Nik Mohd Rahimi Nik Yusof.
2009. Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu di Institusi
Pendidikan Tinggi Swasta di Negeri Sarawak. Asian Journal
Teaching and Learning in Higher Education. AJTLHE. Vol. 1 No.1 :
8-25
1.2.2 Tujuan utama artikel
Tujuan utama artikel ini adalah untuk mendapatkan persepsi pelajar
Institusi Pendidikan Tinggi Swasta di negeri Sarawak tentang pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan tenaga pengajar di IPTS yang
dikaji. Pengajaran dan pembelajaran meliputi pendekatan, perkaedahan,
sukatan, bahan dan penilaian pengajaran dalam pembelajaran Bahasa Melayu
dan perbezaan persepsi dinilai di antara pelajar Bumiputera dan bukan
Bumiputera.
1.2.3 Kaedah Kajian
Reka bentuk kajian yang digunakan ialah kaedah tinjauan melalui soal
selidik. Kajian ini melibatkan seramai 218 orang pelajar tempatan yang mengikuti
kursus mata pelajaran Bahasa Melayu di IPTS di negeri Sarawak. Kaedah
persampelan yang digunakan ialah persampelan rawak mudah manakala
instrumen yang digunakan telah diubahsuai daripada beberapa kajian lepas.
Teori yang mendasari kajian ini disesuaikan berasaskan kepada model
Pendekatan Bersistem CIPP (Context, Input, Process, Product)
1.2.4 Rumusan Dapatan Kajian
Dapatan kajian menunjukkan bahawa pensyarah IPTS di Sarawak kerap
menggunakan keempat-empat pendekatan pengajaran, iaitu deduktif, induktif,
elektif dan komunikatif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
tetapi kurang berpusatkan pelajar. Hasil kajian ini juga menunjukkan bahawa
5
6. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
pelbagai kaedah pengajaran telah digunakan dan secara keseluruhan pelajar
bersetuju bahawa pensyarah menggunakan sukatan pelajaran yang disediakan
oleh LAN dan ia telah berjaya mencapai matlamatnya bagi membolehkan pelajar
menguasai kecekapan berbahasa. Walau bagaimanapun, pensyarah didapati
lebih kerap menggunakan bahan pengajaran konvensional berbanding elektronik
di dalam pengajaran mereka. Manakala dari aspek penilaian, pensyarah didapati
kerap menggunakan penilaian formatif dan sumatif dalam pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di IPTS.
1.2.5 Hasil perbincangan dan hujah terpenting kajian
Secara keseluruhannya, mutu pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu di IPTS masih belum mencapai standard yang membanggakan. Aktiviti
yang berpusatkan pelajar masih kurang dilaksanakan dan bahan pengajaran
yang digunakan perlulah lebih berkualiti dan terkini selaras dengan
perkembangan teknologi pendidikan masa kini. Selain itu, tenaga pengajar juga
perlu lebih kreatif dan inovatif agar pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu lebih menarik dan menyeronokkan.
1.2.6 Kerelevenan artikel dengan kajian
Artikel ini sangat relevan dengan kajian kerana ia membincangkan isu
yang sama iaitu berkaitan mata pelajaran wajib di IPTS dan menilai persepsi
pelajar terhadap pendekatan dan pengajaran yang digunakan oleh para
pensyarah di dalam pengajaran dan pembelajaran.
6
7. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
1.3 Artikel 3
1.3.1 Perincian bibliografi artikel mengikut Gaya Penulisan UKM
Shahril @Charil bin Hj Marzuki. 2004. Amalan Pengajaran yang berkesan
: Kajian di beberapa Sekolah Menengah di Wilayah Persekutuan
dan Selangor. Jurnal Pendidikan Universiti Malaya : 29-40
1.3.2 Tujuan utama artikel
Tujuan utama artikel ini adalah untuk mengesani amalan pengajaran
yang berkesan mengikut model Slavin (1994) dalam kalangan guru di beberapa
buah sekolah menengah di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Menurut Slavin,
amalan pengajaran yang berkesan dipengaruhi oleh empat faktor iaitu kualiti
pengajaran, kesesuaian tahap pengajaran, insentif dan masa yang digunakan
oleh guru. Selain itu, kajian ini juga adalah bertujuan untuk melihat perbezaan
persepsi pelajar mengikut jantina ke atas keempat-empat faktor tersebut.
1.3.3 Kaedah Kajian
Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan dan temu bual yang melibatkan
seramai 208 orang pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima di sekolah
menengah di kawasan Kepong, Kuala Lumpur dan Subang Jaya. Satu set
instrumen kajian telah dibina yang mengandungi 26 item dan dibahagikan
kepada empat sub skala bagi mengukur amalan pengajaran yang berkesan
berdasarkan Model Slavin. Teori yang mendasari kajian adalah berdasarkan
model input-output di mana input adalah berdasarkan model Slavin yang menilai
empat faktor amalan pengajaran yang berkesan dan output pula adalah
peningkatan dalam pencapaian akademik pelajar
1.3.4 Rumusan Dapatan Kajian
Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru telah
merancang pengajaran terlebih dahulu sebelum mengajar, memastikan isi-isi
pelajaran tepat dan dikemaskini, mempelbagaikan alat bantu mengajar,
memantau perkembangan pelajar, memastikan pelajar menguasai konsep-
7
8. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
konsep asas dalam pembelajaran dan mempelbagaikan kaedah pengajaran.
Kajian ini juga menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan persepsi
pelajar berdasarkan jantina terhadap keempat-empat faktor amalan pengajaran
yang berkesan mengikut model Slavin.
1.3.5 Hasil perbincangan dan hujah terpenting kajian
Kajian ini menunjukkan bahawa model amalan pengajaran berkesan
Slavin telah digunakan oleh kebanyakan guru yang dikaji di beberapa buah
sekolah menengah di Wilayah Persekutuan dan Selangor. Berdasarkan persepsi
pelajar, satu profil amalan pengajaran guru berkesan telah dibina sebagai
panduan kepada semua guru di seluruh Malaysia. Mengikut persepsi pelajar,
guru yang berkesan perlulah merancang terlebih dahulu pengajaran, mengaitkan
isi pelajaran dengan pengetahuan sedia ada dan pengalaman pelajar serta
kreatif di dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran. Guru yang berkesan juga
perlulah mengajar mengikut aras kebolehan dan keupayaan pelajar dan
memastikan sukatan pelajaran dihabiskan pada akhir tahun. Selain itu, guru
yang berkesan perlulah memberi motivasi dan ganjaran kepada pelajar supaya
belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan sepenuhnya masa pengajaran
dan memberi masa yang secukupnya untuk pelajar menyiapkan pelbagai
tugasan.
1.3.6 Kerelevanan artikel dengan kajian
Artikel ini sangat relevan dengan kajian yang akan dijalankan kerana
memberi input yang berguna tentang amalan pengajaran yang berkesan.
Keempat-empat faktor yang digariskan oleh Slavin boleh digunakan sebagai
rujukan di dalam membina instrumen bagi menilai pelaksanaan pengajaran yang
berkesan dalam kalangan pensyarah Pengajian Islam di IPTS.
8
9. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
1.4 Artikel 4
1.4.1 Perincian bibiliografi artikel mengikut gaya penulisan UKM
Wan Noor Hazlina Wan Jusoh and Kamaruzaman Jusoff. 2009. Using
Multimedia in Teaching Islamic Studies. Journal Media and
Communication Studies. Vol. 1(5) :86-94
1.4.2 Tujuan utama artikel
Tujuan utama artikel ini ialah untuk membincangkan tentang penggunaan
multimedia di dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengajian
Islam di IPTS. Penulisan ini adalah berdasarkan pengalaman penulis sendiri
yang mengaplikasikan penggunaan ICT dan multimedia semasa mengajar di
Kolej Universiti Taylor’s, Subang Jaya.
1.4.3 Kaedah Kajian
Oleh kerana artikel ini adalah berbentuk konseptual, maka tiada kaedah
kajian yang dinyatakan. Walau bagaimanapun, penulis telah menyatakan
sebahagian daripada pendapat dan komen pelajar yang didapati daripada
borang penilaian kursus bagi menunjuk dan mengukuhkan pernyataan beliau
terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengajian
Islam menggunakan multimedia dan ICT.
1.4.4 Rumusan Dapatan Kajian
Penulis mendapati bahawa dengan menggabungkan penggunaan
multimedia di dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pengajian
Islam, anggapan negatif terhadap mata pelajaran ini telah berjaya diubah dan
menjadikannya mata pelajaran yang menarik dan menyeronokkan. Berdasarkan
penilaian daripada pelajar, penulis mendapati bahawa adalah tidak mustahil
untuk menjadikan mata pelajaran yang dianggap lesu dan membosankan ini
kepada mata pelajaran yang sangat interaktif dan memberi kesan ke atas
9
10. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
motivasi dan pencapaian pelajar dengan menggunakan multimedia di dalam
pengajaran dan pembelajaran.
1.4.5 Hasil perbincangan dan hujah terpenting artikel
Mata pelajaran Pengajian Islam atau MPW 1143 adalah satu mata
pelajaran wajib bagi semua pelajar Muslim di IPTS. Ia bertujuan untuk
melahirkan warganegara dan graduan Muslim yang memahami Islam sebagai
satu cara hidup dan agama yang mampu untuk mendepani pelbagai cabaran
semasa. Kurikulumnya hampir sama dengan kurikulum Pendidikan Islam di
sekolah menengah cuma skopnya agak luas. Oleh kerana ia adalah mata
pelajaran yang diwajibkan oleh pihak MQA, pelajar tiada pilihan dan sering pula
beranggapan bahawa ia adalah mata pelajaran yang membosankan. Justeru,
para pensyarah perlu kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan teknik dan
kaedah pengajaran. Antara kaedah yang berkesan ialah melalui penggunaan
bahan multimedia di dalam pengajaran seperti penggunaan Microsoft power
point, klip video, peta minda dan internet. Berdasarkan pengalaman penulis
sendiri, slaid power point telah menjadikan pengajaran lebih menarik dengan
memasukkan pelbagai grafik yang berkesan disamping penggunaan muzik
sebagai latar belakang telah meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sesuatu
topik. Selain itu, pelajar juga diarahkan supaya menyediakan satu klip video yang
bertemakan Islam dan hasilnya sangat memberansangkan berdasarkan
penilaian dan komen pelajar. Peta minda yang dibina melalui software Free Mind
pula telah memudahkan pelajar memahami keseluruhan topik begitu juga
dengan penggunaan internet seperti kemudahan youtube untuk memuat turun
pelbagai video yang sesuai dengan topik yang diajar. Kesimpulannya,
penggunaan multimedia secara efektif telah berjaya menjadikan mata pelajaran
ini lebih menarik, memberi motivasi dan mampu meningkatkan kefahaman
pelajar.
1.4.6 Kerelevanan artikel dengan kajian
Artikel ini sangat relevan dengan kajian kerana membincangkan tentang
mata pelajaran yang sama di tempat yang sama iaitu di IPTS. Pengkaji boleh
10
11. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
menggunakan artikel ini di dalam bab 2 bagi menghuraikan tentang antara
strategi menjadikan pengajaran berkesan serta di dalam bab 5 iaitu di dalam
perbincangan yang boleh dijadikan sebagai bahan sokongan.
2.0 Analisis Kritikal dan Integrasi Literatur
2.1 Analisis Kritikal dan Integrasi Artikel dengan artikel
Secara keseluruhannya kesemua artikel ini membincangkan tema yang sama
iaitu tentang aspek pengajaran. Walau bagaimanapun hanya artikel 4 yang
menfokuskan tentang pengajaran Pengajian Islam. Artikel 4 juga adalah hampir sama
dengan artikel 2 kerana menfokuskan tentang pengajaran mata pelajaran wajib di IPTS
iaitu mata pelajaran Bahasa Melayu. Mata pelajaran wajib bermaksud semua mata
pelajaran yang wajib diajar dan wajib lulus bagi memenuhi kehendak Agensi Kelayakan
Malaysia (MQA) seperti yang termaktub di dalam Akta IPTS 1996. Manakala artikel 1
dan artikel 3 menfokuskan tentang aspek pengajaran dalam kalangan guru di sekolah
menengah. Kesemua artikel ini juga menggunakan persepsi pelajar di dalam membuat
penilaian terhadap pengajaran yang dilaksanakan oleh guru dan pensyarah.
Apabila membincangkan tentang aspek pengajaran yang berkesan,
penulis artikel 1 telah menyenaraikan beberapa ciri seperti kejelasan pengajaran,
kepelbagaian pengajaran, orientasi tugas dan penglibatan dalam proses pembelajaran
dan kejayaan pelajar (perenggan 1 muka surat 108). Selain itu, seseorang guru juga
perlu menguasai beberapa kemahiran di dalam pengajaran seperti menfokus dan
mendapatkan perhatian pelajar, menggunakan masa pengajaran secara berkesan,
menjalankan pengajaran interaktif dan menyediakan maklum balas dan pengukuhan.
(perenggan 2 muka surat 108).
Pendapat ini adalah selari dengan penulis artikel 3 yang menggunakan model
pengajaran Slavin sebagai instrumen kajian di dalam menilai amalan pengajaran guru.
Menurut Slavin, amalan pengajaran yang berkesan dipengaruhi oleh empat faktor iaitu
kualiti pengajaran, kesesuaian tahap pengajaran, insentif dan masa yang digunakan
oleh guru. Kualiti pengajaran bermaksud keupayaan guru untuk menyampaikan
pengajaran atau konsep atau kemahiran yang mudah difahami, mudah diingat dan
menyeronokkan pelajar. Manakala tahap pengajaran yang sesuai bermaksud
11
12. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
pengajaran mestilah sesuai dengan kebolehan dan keupayaan pelajar. Selain itu, guru
juga perlu memberi insentif kepada pelajar dengan cara memberi motivasi dan pujian
kepada pelajar serta menyediakan pengajaran yang boleh menarik minat dan
menyeronokkan dengan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan alat bantu mengajar.
Seseorang guru juga perlu memperuntukkan masa pengajaran dan pembelajaran yang
mencukupi samada di dalam mengajar sesuatu mata pelajaran atau semasa memberi
sebarang tugasan kepada pelajar. (muka surat 30-31).
Dalam menyampaikan ilmu pengetahuan, kaedah pengajaran merupakan alat
penyambung atau penggerak dua hala di antara guru dan pelajar yang sentiasa
berinteraksi dan saling pengaruh mempengaruhi. Dalam konteks ini, dapatan kajian
penulis di dalam artikel 2 menunjukkan bahawa tenaga pengajar telah mempelbagaikan
kaedah pengajaran dengan menggunakan perkaedahan konvensional dan perkaedahan
berpusatkan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di IPTS di
negeri Sarawak (muka surat 20). Dapatan ini adalah selari dengan dapatan kajian di
dalam artikel 3 yang menunjukkan guru yang dikaji mempelbagaikan kaedah pengajaran
supaya pengajarannya menyeronokkan dan dapat menarik minat pelajar untuk terus
belajar. (muka surat 39).
Selain itu, bahan pengajaran juga memainkan peranan yang penting di dalam
memastikan keberkesanan pengajaran. Menurut penulis artikel 4, penggunaan
multimedia secara efektif mampu menarik perhatian pelajar dan menjadikan mata
pelajaran Pengajian Islam di IPTS lebih menarik dan menyeronokkan( muka surat 93).
Walau bagaimanapun, dapatan kajian di dalam artikel 2 menunjukkan bahawa para
pensyarah Bahasa Melayu di IPTS di negeri Sarawak lebih kerap menggunakan bahan
pengajaran konvensional berbanding dengan bahan pengajaran berbentuk elektronik
(muka surat 21). Ini menunjukkan bahawa tidak semua pensyarah di IPTS benar-benar
mengaplikasikan penggunaan multimedia di dalam pengajaran dan pembelajaran
walaupun menyedari kepentingan dan keberkesanannya.
2.2 Analisis Kritikal dan Integrasi Artikel dengan kajian
Keempat-empat artikel ini sangat relevan dengan kajian yang akan
dijalankan daripada pelbagai aspek. Artikel 1 dan artikel 3 sangat bermanfaat di dalam
membincangkan tentang ciri, amalan dan konstruk pengajaran berkesan yang boleh
digunakan oleh pengkaji sebagai rujukan di dalam Bab 2 (Tinjauan Literatur). Model
12
13. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
pengajaran Slavin dalam artikel 3 yang menggariskan empat amalan pengajaran yang
berkesan boleh dijadikan rujukan di dalam membina kerangka teori kajian. Begitu juga
dengan ciri-ciri pengajaran berkesan di dalam artikel 1 yang dikemukakan oleh
Cruickshank, Bainer dan Metcalf (1995), Joyce, Calhoun dan Hopkins (1997), Ormrod
(2000) serta Eggen dan Kauchak (2001). Selain itu, pengkaji juga boleh menjadikan
instrumen yang digunakan di dalam kedua-dua artikel ini sebagai rujukan di dalam
pembinaan instrumen kajian pengkaji kelak. Di samping itu, dapatan kedua-dua kajian
juga boleh digunakan sebagai rujukan bagi menyokong fakta dan dapatan kajian di
dalam Bab 5 (Perbincangan dan Implikasi Kajian)
Artikel 2 dan artikel 4 lebih memfokuskan kepada pengajaran dalam
kalangan pensyarah di IPTS. Artikel 2 banyak membincangkan tentang latar belakang
penubuhan IPTS dan juga pengenalan mata pelajaran wajib di IPTS oleh Lembaga
Akreditasi Negara (LAN) atau MQA. Maklumat ini boleh dijadikan sebagai rujukan di
dalam Bab 1 (Latar belakang Kajian). Kajian kepustakaan di dalam artikel 2 juga boleh
dijadikan sebagai rujukan di dalam Bab 2 (Tinjauan Literatur) kerana banyak merujuk
kepada kajian-kajian lepas yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran di
IPTS. Selain itu, dapatan kajian di dalam artikel 2 juga boleh dijadikan sebagai rujukan di
dalam Bab 5 (Perbincangan dan Implikasi Kajian).
Artikel 4 sangat relevan dengan kajian kerana fokus utamanya adalah
sama iaitu pengajaran mata pelajaran Pengajian Islam di IPTS. Walaupun artikel 4
hanyalah kertas konseptual, tetapi perbincangan tentang keberkesanan penggunaan
multimedia di dalam pengajaran mata pelajaran ini di IPTS telah memberikan impak
yang besar kepada pelajar. Penggunaan multimedia adalah antara aspek bahan
pengajaran yang penting yang akan dijadikan sebagai salah satu daripada instrumen
kajian. Ini adalah kerana kaedah pengajaran berbantukan multimedia telah diakui dan
dibuktikan oleh ramai para sarjana sebagai antara kaedah yang paling berkesan di
dalam menarik minat pelajar dan menjadikan pengajaran lebih interaktif dan berkesan.
Justeru, pengkaji akan menjadikan artikel ini sebagai rujukan di dalam Bab 1 (Latar
belakang dan pernyataan masalah), Bab 2 (Tinjauan Literatur) dan juga di dalam Bab 5
(Perbincangan dan Implikasi Kajian).
13
14. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
2.3 Analisis Kritikal dan Integrasi Artikel dengan bahan rujukan lain
Menurut penulis di dalam artikel 3, pengajaran guru yang berkesan
bermakna pengajaran guru tersebut dianggap baik jika guru tersebut berupaya
mempelbagaikan kaedah pengajaran, menyediakan alat bantu mengajar dan mendalami
isi kandungan yang hendak diajar. Selain itu, guru juga perlu mengetahui akan
kebolehan pelajar menerima pelajaran, memberi motivasi supaya mereka minat belajar,
dapat mengawal kelakuan pelajar, mengumpulkan pelajar mengikut kebolehan dan
memberi penilaian atau ujian yang kerap kepada pelajar. Dengan kata lain, pengajaran
berkesan merupakan kebolehan guru itu sendiri untuk mengajar dengan baik dan
berkesan dan dapat memotivasikan pelajar untuk terus belajar bagi mencapai
kecemerlangan. (perenggan 2 : muka surat 29). Pendapat ini adalah selaras dengan
teori pengajaran yang diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun di dalam bukunya Al
Muqaddimah (dalam Misnan Jemali, 2008) yang menggariskan empat kriteria
pengajaran berkesan iaitu objektif pengajaran yang jelas, memahami tahap
pengetahuan dan kebolehan pelajar, kaedah pengajaran yang berkesan dan beransur-
ansur atau tadrij serta melakukan penilaian dan rumusan pengajaran.
Menurut Ab. Halim Tamuri & Nik Mohd Rahimi (2010), kemahiran dan
kemampuan guru untuk menyampaikan pengajaran yang berkesan dan menarik perlu
diberi perhatian. Ini adalah kerana kegagalan guru untuk memberikan penjelasan yang
baik dan mantap boleh menyebabkan pengajaran guru tidak menarik dan juga menjadi
punca pelajar tidak dapat memahami apa yang dipelajari. Begitu juga dengan pendapat
Muhamad Uthman El Muhammady dalam Ahmad Mohd Salleh (1997) yang
menganggap guru adalah agen pendidikan yang berkesan. Walau sebaik manapun
sesuatu sistem pendidikan, jika guru yang mengajar bukan guru yang berkesan
bermakna apa yang disampaikan atau diajar tidak akan difahami oleh pelajar dan juga
tidak mencapai matlamat pengajaran yang ditetapkan.
Dapatan kajian di dalam artikel 1 menunjukkan bahawa lebih daripada satu
pertiga guru tidak pernah atau jarang menggunakan alat bantu mengajar sedangkan
14
15. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran dalam memberi
pendedahan berkaitan penggunaan alat-alat berfikir (perenggan 2 : muka surat 125).
Dapatan kajian ini adalah sama dengan dapatan kajian di dalam artikel 2 yang
menunjukkan bahawa kebanyakan para pensyarah IPTS di negeri Sarawak masih lagi
menggunakan bahan bantu mengajar konvensional berbanding bahan berbentuk
elektronik (muka surat 21). Di dalam era sains dan teknologi masa kini, para tenaga
pengajar seharusnya menggunakan sepenuhnya bahan pengajaran berbantukan
komputer dan multimedia di dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran. Menurut
penulis di dalam artikel 4, generasi muda hari ini lebih terdedah kepada media
berbanding dengan generasi sebelumnya. Malah, sesetengah pendapat mengatakan
bahawa otak generasi hari ini telah diprojekkan untuk memperuntukkan sebahagian
daripada masa mereka di hadapan komputer sama ada menonton video, mendengar
muzik atau bermain permainan komputer. Oleh sebab itu, generasi hari ini juga dikenali
sebagai generasi digital. Justeru, bagi membolehkan guru menarik perhatian pelajar dan
menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih menyeronokkan, guru atau pensyarah
perlu mengikut perkembangan semasa yang sesuai dengan generasi muda hari ini
Salah satu daripada bahan pengajaran yang sangat efektif pada masa kini ialah
penggunaan multimedia dalam pengajaran dan pembelajaran (muka surat 87).
Menurut Zaradi Sudin dan Rozita (2003), teknologi terkini, khususnya yang
berasaskan komputer dan telekomunikasi seperti internet boleh digunakan oleh guru-
guru Pendidikan Islam untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan P&P seperti :
(1) Sumber maklumat atau perpustakaan maya di dalam laman web. Didalam laman
sesawang ini, berjuta maklumat boleh diperolehi.
(2) Penggunaan mel elektronik (email) untuk perbincangan secara berterusan antara
guru dan pelajar di luar persekolahan formal.
(3) Penggunaan sidang video untuk membolehkan mesyuarat diadakan secara virtual,
baik di peringkat sekolah, daerah mahupun negeri
(4) Sebagai alat penyampai kursus atau latihan secara jarak jauh. Ini membolehkan
proses pembangunan professional guru dijalankan secara berterusan dan memberi
peluang kepada lebih ramai guru menyertainya
15
16. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
Menurut Zaradi Sudin dan Rozita (2003) lagi penggunaan multimedia di dalam
P&P Pendidikan Islam mendatangkan banyak faedah. Antaranya ialah :
(1) Pengajaran menjadi lebih efektif dengan adanya integrasi elemen-elemen
multimedia
(2) Menarik minat dan dapat memotivasikan para pelajar
(3) Pelajar dapat belajar pada tahap kendiri dan pada bila-bila masa yang
dikehendakinya
(4) Menjimatkan masa dan kos kerana tidak memerlukan tenaga pengajar sepenuhnya.
Guru bertindak sebagai fasilitator sahaja.
(5) Pelbagai sumber dan bahan dapat disimpan dan digunakan contohnya dengan
adanya internet, pelajar boleh melayari perpustakaan maya.
Kesimpulannya, keempat-empat artikel yang memfokuskan aspek pengajaran ini
mempunyai justifikasi dan kerelevanan tersendiri di dalam membantu pengkaji
melakukan kajian berkaitan tentang “Penilaian Pelaksanaan Pengajaran Pengajian
Islam di Institusi Pengajian Tinggi MARA di negeri Selangor”. Integrasi kesemua artikel
ini akan memudahkan pengkaji memahami lebih mendalam tentang tajuk kajian dan
boleh dijadikan rujukan dalam pelbagai aspek kajian. Setiap kekuatan dan kekurangan
dalam setiap artikel akan digunakan dalam menambah dan memperbaiki fokus kajian.
Oleh kerana tiada sebarang kajian yang pernah dilakukan sebelum ini berhubung
dengan tajuk kajian yang dipilih, pengkaji akan cuba mengintegrasikan setiap artikel
yang relevan dalam usaha untuk menghasilkan kajian yang berkualiti dan dapat
dimanfaatkan kelak.
Rujukan
Ab. Halim Tamuri, Nik Mohd Rahimi Nik Yusof. 2010. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran
Pendidikan Islam, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia
16
17. [PENULISAN AKADEMIK 2] Tugasan 2
Ahmad Mohd Salleh, 1997, Pendidikan Islam : Falsafah, Pedagogi dan Metodologi, Kuala
Lumpur, Fajar Bakti
Misnan Jemali. 2008. Amalan Pengajaran Tilawah Al Quran di Sekolah Menengah. Kertas
Projek. Sarjana Pendidikan Islam. Universiti Kebangsaan Malaysia
Zaradi Sudin, Rozita Hj. Md Noh. 2003. Penggunaan Komputer dalam Pengajaran Pendidikan
Islam. Prosiding Wacana Pendidikan Siri 3, Universiti Kebangsaan Malaysia.
17