Kes Liwat II: Anwar Ibrahim & Saiful Bukhari Azlan
BIL: SN207 27 SAFAR 1431H / 12 FEBRUARI 2010 KDN PP 16482/09/2010 (025476)
KISAH ANWAR, SAIFUL DAN . . .
Kes liwat Anwar dan Saiful akhirnya dibicarakan di mahkamah setelah mengalami beberapa siri penangguhan sejak ia mula meletus.
Tajuk-tajuk utama akhbar dan juga perbualan di pejabat-pejabat serta di kedai-kedai kopi kini diwarnai dengan adegan terpanas ini.
Laman web, blog-blog dan pelbagai forum di alam maya sememangnya memanaskan lagi suasana. Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas
orang nombor dua negara, yang sekarang menyandang jawatan ketua pembangkang kini sedang bergelut dengan apa yang disifatkannya
sebagai fitnah jahat ke atas dirinya. Mantan Timbalan Perdana Menteri ini telah didakwa di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas
kesalahan melakukan hubungan seks diluar tabii (meliwat) bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Selain apa yang berlaku ke
atas dirinya secara peribadi, partinya, PKR dan Pakatan Rakyat sendiri kini diserang bertubi-tubi oleh parti pemerintah di dalam usaha
pemerintah memecah belahkan parti lawannya ini. Media pro kerajaan tidak habis-habis berusaha memburukkan imej parti pembangkang
dan khusus di dalam liputan perbicaraan kes liwat ini pula, akhbar-akhbar arus perdana terus-menerus cuba menggambarkan bahawa
Anwar berada di pihak yang salah. Dengan apa yang berlaku ini, apa yang pasti ialah sejarah hitam sekali lagi terpalit ke atas Anwar
Ibrahim yang dalam masa yang sama sebenarnya memalitkan imej negatif dunia ke atas Malaysia. Sautun Nahdhah kali ini bukanlah
ditulis untuk membela atau menghukum mana-mana pihak yang terbabit, namun ingin mengajak para pembaca agar kembali kepada
pemikiran fiqh Islam, yang sepatutnya diterapkan ke atas umat Islam dalam menyelesaikan setiap persengkataan yang wujud.
Kes Liwat Anwar-Saiful, Apa Yang Tak Kena?
Sejak awal kes ini terbongkar, banyak pihak apatah lagi pembangkang yang menganggap wujudnya konspirasi untuk menjatuhkan Anwar
oleh pihak-pihak tertentu. Mereka mempertikaikan apa yang berlaku dari A-Z dan menyifatkan kes liwat ini sebagai fitnah kali kedua untuk
menjahanamkan karier politik ketua pembangkang itu. Sehinggalah apabila kes mula disebut di Mahkamah Tinggi, para penyokong Anwar
terus berhimpun demi menyuarakan bantahan. Selain pihak yang bersimpati, tidak kurang wujudnya sebahagian pihak lain yang percaya
bahawa ahli Parlimen Permatang Pauh itu memang terlibat di dalam perbuatan tidak bermoral itu. Apa pun, sebagai Muslim, Islam
melarang kita menuduh seseorang itu bersalah sehinggalah dia dibuktikan bersalah. Kaedah syarak menyatakan ‘al-aslu bara’atu
zimmah’ (hukum asal seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan). Dalam Islam, seseorang itu hanya dikatakan bersalah
apabila mahkamah telah mensabitkan kesalahannya. Justeru kita sepatutnya menjaga diri kita dari dosa dengan tidak membuat sebarang
spekulasi atau tuduhan ke atas orang yang belum dibuktikan bersalah.
Apa yang memang benar-benar salah di sini ialah apabila kes ini
dibicarakan di Mahkamah Sivil. Sungguh malang apabila kes
berprofil tinggi ini berlangsung, tidak ada ataupun mungkin hanya
segelintir umat Islam yang ada pada hari ini menyedari bahawa
Anwar telah dibicarakan di mahkamah yang ‘salah’ yakni mahkamah
kufur, bukannya mahkamah Islam! Secara pasti, sistem kehakiman
dan undang-undang yang diguna pakai adalah undang-undang
thagut yang ditinggalkan oleh penjajah. Sebahagian umat Islam
gagal menyedari bahawa liwat ialah kesalahan hudud yang wajib
dihukum mengikut hukum Allah, bukannya mengikut Seksyen 377B
Kanun Keseksaan yang digubal oleh manusia, yang membawa
hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika disabit
kesalahan. Nampaknya undang-undang Allah terus dibakul
sampahkan oleh para pemimpin sekular dan oleh mahkamah yang
ada pada hari ini walaupun kesemua pihak yang terlibat adalah
beragama Islam.
Seperkara lagi yang tidak kena dalam kes dakwaan liwat oleh Saiful
ke atas Anwar di sini adalah apabila hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim
seorang sahaja yang dibicarakan, manakala Saiful tidak!
Berdasarkan pertuduhan di bawah S377B, dan berdasarkan
keterangan yang diberikan oleh Saiful sendiri di mahkamah setakat
ini, teramat jelas bahawa Saiful (penuduh) mengakui bahawa dia
telah diliwat oleh bekas majikannya itu. Ini bermakna, terdapat dua
keadaan kes di sini (i) Pengakuan Saiful yang dia diliwat oleh Anwar
dan (ii) Tuduhan bahawa Anwar meliwatnya. Dalam keadaan (i),
menurut Islam, jika seseorang itu telah mengaku melakukan suatu
kesalahan dengan sengaja atau sukarela, dan dia benar-benar
faham akan kesalahan dan kesan pengakuan yang dibuatnya, maka
dia hendaklah dihukum. Untuk kes (ii), si Saiful hendaklah
mendatangkan dua saksi yang adil di atas pertuduhannya ke atas
Anwar. Anwar sekali-kali tidak boleh disabitkan (kesalahan)
berdasarkan pengakuan Saiful, kerana pengakuan Saiful hanya
akan ‘mensabitkan’ dirinya sendiri dan tidak boleh mensabitkan
orang lain.
Bagi ‘pengakuan’ liwat yang telah dilakukan oleh Saiful, maka
menurut fikih perundangan Islam, qadhi yang sedang menghakimi
kes ini hendaklah bertanya, sama ada liwat tersebut berlaku secara
paksa atau sukarela? Jika dipaksa, perlu diperhalusi lagi, apakah
paksaan itu ‘bersangatan’ (ikrahul mulji’) sifatnya (yakni) yang boleh
membawa kematian atau kecederaan berat, atau sekadar paksaan
yang tidak memudaratkan? Qadhi perlu menyoalsiasat perkara ini
dengan mendalam agar perlakuan liwat tadi boleh ditentukan
statusnya, sama ada termasuk ke dalam kategori penganiayaan
(jika ikrahul mulji’) atau kemaksiatan (jika dilakukan secara sukarela
atau sebenarnya paksaan yang berlaku tidaklah sampai
memudharatkan). Jika wujud paksaan tetapi sekadar dimarah atau
ditengking, ini tidak sekali-kali termasuk dalam ikrahul mulji’.
Berbeza jika seseorang yang diacukan pistol atau pisau dan
diarahkan melakukan suatu kesalahan, maka ini merupakan
keadaan ikrahul mulji’ baginya.
Jika kejadian liwat ini termasuk di dalam kes penganiayaan
(wujudnya ikrahul mulji’) maka si pendakwa akan terlepas dari
hukuman. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW, “Diangkat
(kesalahan) dari umatku (dalam keadaan) tidak sengaja, lupa atau
kerana dipaksa” [HR Ibnu Majah dan Baihaqi]. Dan jika si pendakwa
berjaya membuktikan (dengan mendatangkan dua saksi yang adil)
bahawa si tertuduh meliwatnya dalam keadaan ikrahul mulji’,
manakala si tertuduh tidak mengakuinya, maka pihak yang tertuduh
mestilah dipanggil untuk membela diri. Namun sebaliknya, jika tidak
wujud ikrahul mulji’, maka si pendakwa wajiblah dikenakan hudud
di atas ‘pengakuan’ liwatnya kerana ini bermakna dia telah
melakukan kesalahan liwat dengan sengaja. Jika si pendakwa gagal
mendatangkan dua orang saksi dan si tertuduh pula tidak mengaku,
maka si tertuduh adalah terlepas dari hukuman. Bagaimanapun
wajib bagi qadhi/hakim mendengar hujah dan pembuktian dari
kedua-dua pihak, sebelum memutuskan hukuman. Ini berdasarkan
hadis Rasulullah SAW tatkala mengangkat Ali bin Abi Thalib menjadi
qadhi di Yaman, sabda baginda, “Jika ada dua orang yang
bersengketa duduk di hadapanmu (meminta keputusan), janganlah
engkau berbicara (memberi keputusan) hingga engkau
mendengarkan (keterangan) dari pihak lain sebagaimana engkau
telah mendengar dari pihak yang pertama” [HR Ahmad].
Hukuman Liwat Dalam Islam (Yang Meliwat dan Yang Diliwat)
Di dalam sistem uqubat Islam, liwat adalah termasuk di dalam
kategori kesalahan hudud. Islam telah menetapkan bahawa
hukuman liwat adalah bunuh, sama ada pelakunya belum berkahwin
(ghair muhsan) ataupun yang telah berkahwin (muhsan). Sesiapa
saja yang telah terbukti melakukan liwat, maka dia hendaklah
dihukum bunuh. Dalilnya adalah berdasarkan Sunnah dan Ijma’
Sahabat. Dari Ibnu Abbas ra ia berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Barang siapa yang kamu dapati ia melakukan perbuatan kaum
Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya” [HR Ahmad, Abu Daud,
Ibn Majah dan Tarmizi]. Manakala dalil yang ditunjukkan oleh Ijma’
Sahabat adalah kesepakatan para sahabat untuk membunuh pelaku
liwat, sama ada yang belum berkahwin mahupun yang telah
berkahwin. Hukumnya tetap sama iaitu bunuh, walaupun cara
pembunuhannya berbeza.
Imam Baihaqi telah mengeluarkan hadis dari Ali bin Abi Thalib ra
bahawa beliau merejam pelaku liwat. Hadis lain yang dikeluarkan
oleh Baihaqi, dari Abu Bakar ra bahawa beliau mengumpulkan para
sahabat untuk membincangkan kes liwat. Di antara para sahabat
Rasulullah itu, yang paling tegas pendapatnya adalah Ali bin Abi
Thalib ra, beliau mengatakan, “Liwat adalah perbuatan dosa yang
belum pernah dilakukan oleh umat manusia, kecuali satu umat
yakni kaum Lut sebagaimana yang telah kamu ketahui. Dengan
demikian, pelaku liwat mesti dibakar dengan api.” Diriwayatkan dari
Ja’far bin Muhammad, dari bapanya, dari Ali bin Abi Thalib ra selain
dari kisah ini berkata, “Rejam dan bakarlah dengan api”. Imam
Baihaqi juga mengeluarkan hadis dari Ibnu Abbas bahawa beliau
ditanya tentang hukum hudud bagi pelaku liwat, maka beliau berkata,
“Jatuhkanlah dari atas bangunan yang paling tinggi di suatu tempat,
kemudian hujanilah dengan lemparan batu.”
Diriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra bahawa beliau membunuh
pelaku liwat dengan pedang, kemudian membakarnya, disebabkan
besarnya dosa liwat ini. Umar ra dan Uthman ra berpendapat,
“Pelaku liwat dilempari dengan benda-benda keras sehingga mati.”
Semua ini adalah pendapat dan tindakan para sahabat (Ijma’
Sahabat) dalam melaksanakan hukuman bagi pelaku-pelaku liwat
iaitu dibunuh, walaupun uslub (cara) pembunuhannya berbeza-beza.
Namun demikian, hukumannya tetap dibunuh, sama ada direjam,
dipancung, dilempar dari bangunan yang tinggi dan pelbagai lagi
uslub lainnya yang boleh digunakan untuk melaksanakan hukum
bunuh ke atas pelaku-pelaku liwat.
Inilah hukum Islam ke atas pelaku liwat berdasarkan nas-nas hadis
yang jelas, dan tidak ada serta tidak boleh (haram) menjatuhkan
hukuman selain hukuman ini. Adapun hukuman 20 tahun penjara
mahupun hukuman sebat di bawah S377B Kanun Keseksaan
bukanlah hukuman Islam. Begitu juga dengan hukuman yang
diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-
Wilayah Persekutuan) 1997, Bahagian IV Kesalahan Yang
Berhubungan Dengan Kesusilaan Seksyen 25, yang
memperuntukkan, “mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat
adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam
sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman
itu”, ini juga bukan hukuman Islam, malah hukuman ini adalah
bertentangan sama sekali dengan Al-Quran dan as-Sunnah.
Hendaknya mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah ini
takut akan azab dariNya. Firman Allah, “...maka hendaklah orang-orang
yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan
atau ditimpa azab yang pedih” [TMQ an-Nur (24):63]. Allah juga
berfirman bahawa barangsiapa yang tidak berhukum dengan
hukumNya, maka mereka itulah orang-orang yang kafir [5:44], zalim
[5:45] dan fasik [5:47].
Pembuktian Liwat
Adapun mengenai hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinat)
dalam Islam, di mana hukum-hukum pembuktian tersebut sama
seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, yang merupakan
hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat
tafsiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da’ur mendefinisikan ‘bukti’
(al-bayyinat) sebagai ‘semua hal atau perkara yang dapat
membuktikan sesuatu dakwaan’. Bukti juga merupakan hujah bagi
orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan
bahawa bukti itu terdiri 4 jenis iaitu (i) Pengakuan (ii) Sumpah (iii)
Kesaksian (iv) Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan.
Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan
oleh syarak. Tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak
selain dari 4 kategori bukti di atas. Mengenai indikasi (qarinah) pula,
ia tidak termasuk sebagai bukti menurut syarak [Syeikh Ahmad ad-
Da’ur Ahkam al-Bayyinat Fil Islam].
Berdasarkan hukum pembuktian di dalam Islam, liwat terbukti dengan
adanya (i) pengakuan atau (ii) kesaksian 2 orang saksi atau seorang
lelaki dan dua orang perempuan (yang adil) sebagaimana
pembuktian (bayyinah) dalam kes pencurian serta kes hudud yang
lainnya (kecuali zina). Hukuman hudud bagi liwat dapat dijatuhkan
dengan syarat kedua-dua pelakunya itu baligh, berakal, rela dengan
sendirinya (bukan dipaksa) dan terbukti telah melakukan liwat dengan
bukti syar’ie iaitu pengakuan dan dengan kesaksian 2 orang lelaki
atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Sekiranya, pelaku
liwat adalah kanak-kanak, orang gila atau orang yang dipaksa
dengan paksaan yang bersangatan (ikrahul mulji’), maka ia tidak
dijatuhi had liwat, sebagaimana yang telah dijelaskan di atas.
Berbalik kepada perbicaraan liwat Anwar-Saiful yang ada di hadapan
kita sekarang, maka sebagai Muslim, kita hendaklah melihat kes ini
dari perspektif syarak semata-mata, bukannya berdasarkan undang-undang
kufur yang ada sekarang atau pun berdasarkan emosi. Kita
bukanlah qadhi/hakim yang boleh memutuskan sama ada Anwar
bersalah atau tidak, namun kita wajib mengingatkan umat Islam,
baik pemerintah, hakim, peguam, saksi, pemerhati dan siapa sahaja
yang terlibat mahupun tidak, bahawa perbicaraan ini hendaklah
dijalankan dengan hukum-hakam Islam, bukan dengan undang-undang
sekular. Kita juga tidak boleh menuduh Anwar bersalah
selama mana tidak ada pengakuan atau bukti yang menunjukkan
dia bersalah. Andainya Anwar terlepas dari hukuman dunia sekalipun
kerana ketiadaan/kekurangan saksi atau bukti, namun, jika Anwar
benar-benar melakukan perbuatan terkutuk itu (hanya Allah, Anwar
dan Saiful sahaja yang mengetahuinya), maka kita yakin bahawa
Anwar sekali-kali tidak akan terlepas dari hukuman dan azab Allah
di akhirat nanti.
Namun, seandainya benar-benar terdapat konspirasi dari pihak-pihak
tertentu yang memiliki kekuasaan, untuk memfitnah,
mengaibkan dan menjatuhkan Anwar, maka kita doakan agar Allah
mendedahkan segala kejahatan ini agar keadilan dapat terlihat di
dunia lagi. Namun jika Allah menghendaki agar segala fitnah dan
konspirasi ini tertutup di dunia, maka kita yakin bahawa Allah sekali-kali
tidak akan menutup konspirasi ini di akhirat dan Allah tidak akan
melepaskan setiap pelakunya dan kita benar-benar yakin bahawa
Allah akan pasti mengazab mereka dengan sekeras-keras dan
sepedih-pedih azab.
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Semoga dengan berlakunya ulang tayang
kes liwat ini akan membuka mata kalian betapa hukum Allah
langsung tidak dihiraukan oleh pemerintah dan betapa gagalnya
sistem pemerintahan sekular dan mahkamah sekular dalam
menegakkan keadilan. Sesungguhnya tidak akan tertegak keadilan
selama mana tidak ada pemerintahan Islam dan selama mana
manusia tidak berhukum dengan hukum Islam. Ideologi Kapitalisme
yang memisahkan agama dari kehidupan yang dianut oleh
pemerintah pada hari ini tidak akan mampu memberikan
penyelesaian yang tuntas kepada persoalan hidup manusia, malah
hari demi hari kita menyaksikan penerap dan pengembang ideologi
busuk ini menjadi semakin zalim dan semakin jauh dari Islam. Hari
ini, manusia yang zalim boleh melakukan segala macam kezaliman
ke atas manusia yang lain dan boleh menutupnya dengan segala
kekuasaan yang ada pada mereka. Namun ingatlah apabila kita
dihadapkan ke mahkamah Allah nanti, pada waktu itu bukan hanya
mulut yang berbicara, tetapi kesemuanya akan menjadi saksi, “Dan
mereka berkata kepada kulit mereka, ‘mengapa kamu menjadi
saksi terhadap kami’. Kulit mereka menjawab, ‘Allah yang telah
menjadikan segala sesuatu pandai berkata-kata telah menjadikan
kami pandai (pula) berkata-kata, dan Dialah yang menciptakan
kamu pada kali yang pertama dan hanya kepadaNyalah kamu
dikembalikan” [TMQ Fussilat (41):21]. Wallahu a’lam.
Nasyrah Mingguan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM)
Penerbit: IKATAN INTELEKTUAL NUSANTARA (No. Pend. 001389443-D), 43A-2-31, Jalan 3/48A, Bandar Baru Sentul, 51000 Kuala Lumpur.
Tel/HP: 013-3622495
Pencetak: HIZI PRINT SDN BHD (No. Syk 478629-H), No. 19, Jalan P10/19, Selaman Industrial Park, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Tel: 03-89269896, Faks: 03-89269897