2. Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.
Anak Cina membawa surat,
Dari Perak langsung ke Deli;
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak di jual beli.
3. Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.
Bila masa dipanggil maut,
Cinta tidak berharga lagi;
Asam di darat, ikan di laut,
Sampai masa berjumpa lagi.
4. Lepas dijemur baru dilipat,
Di simpan dalam almari lama;
Jangan kita tinggalkan solat,
Kerana solat tiang agama.
Sehari sudah lesu berpuasa,
Hidangan berbuka sudah tersedia;
Jangan kamu membazir masa,
Mula beribadat semasa belia.
5. Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Kecil-kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang gelombang.
Buah bacang masak serangkai,
Burung dekut meniti batang;
Saya dagang tidak terpakai,
Macam melukut di tepi gantang.
6. Pakai baju warna biru ,
Pergi sekolah jangan jemu;
Murid sentiasa hormatkan guru,
Kerana guru pembekal ilmu.
Pinang muda dibelah dua ,
Anak burung mati di ranggah;
Dari muda sampai ke tua ,
Ajaran baik jangan diubah.
7. Kayu bemban buat gerudi ,
Simpan sampan di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi ,
Tinggi darjat kerana bahasa.
Parang tajam tidak berhulu ,
Buat menetak si pokok Ru;
Bila belajar tekun selalu,
Jangan ingkar nasihat guru.
8. Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sucinya;
Apa guna beristeri cantik ,
Kalau tidak dengan budinya.
Ramai orang menggali perigi,
Ambil buluh lalu diikat ;
Ilmu dicari tak akan rugi ,
Buat bekalan dunia akhirat.
9. Mak Munah ke pekan sari ,
Pergi bersama anak Johari;
Tuntutlah ilmu setiap hari,
Untuk kesenangan diri sendiri.
Ibu ke sungai tangkap ikan,
Hendak di gulai dengan nangka;
Ibu bapa jangan disia-siakan,
Berjaya kita kerana mereka.
10. Biar sedikit membuat bakti,
Walau sebesar jarum peniti;
Asalkan tulus niat di hati,
Itulah nama jasa sejati.
Bertolak ansur sesama sendiri,
Itulah amalan hidup ini;
Bersatu padu faham memahami,
Budi bahasa pakaian sehari.