1. PERKAHWINAN DALAM AGAMA SIKH
Dalam agama Sikh, perkahwinan atau anand karaj dianggap suci. Penganut
Sikh dimestikan berkahwin kerana perkahwinan adalah penyatuan dua roh
menjadi satu. Penyatuan ini disamakan dengan penyatuan antara manusia
dengan Tuhan, iaitu satu matlamat penting dalam kehidupan setiap penganut
Sikh. Sistem perkahwinan orang Sikh adalah monogami.
Perkahwinan dalam masyarakat Sikh penting, malah dimestikan kerana cara
hidup berkeluarga atau grihasth asram adalah cara hidup yang paling utama
dan semula jadi sifatnya. Perkahwinan antara individu yang mempunyai
hubungan kekeluargaan atau endogami dilarang atau tidak digalakkan. Oleh
itu, pemilihan menantu biasanya dibuat oleh ibu bapa masing-masing.
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk pemilihan pasangan eksogami, iaitu
memilih pasangan hidup daripada kelompok yang luar daripadanya, bukan
daripada mereka yang ada ikatan persaudaraan. Cara ini dapat meluaskan
pengaruh keluarga dan menggalakkan perkembangan budaya. Ringkasnya,
keluarga dan kaum kerabat memberi perhatian yang berat dalam menentukan
kemasukan ahli baru ke dalam keluarga meneka.
Masyarakat Sikh mengamalkan bentuk keturunan dan kepusakaan patrilineal.
Dalam bentuk ini, hubungan persaudaraan atau individu dihubungkan dengan
kelompok keluarga melalui keturunan daripada sebelah nasab bapa.
Misalnya, kelahiran seorang bayi merupakan masa yang amat
menggembirakan, lebih-lebih lagi jika bayi tersebut lelaki, dan ibu yang
melahirkan bayi tersebut dipuji kerana melahirkan anak lelaki yang
sememangnya menjadi harapan keluarga. Kelahiran anak lelaki menguatkan
kedudukan ibu dalam keluarga kerana bayi lelaki semacam jambatan yang
2. menyatukan si ibu dengan bapanya. Ringkasnya, anak lelaki menjadi harapan
keluarga demi penerusan keturunannya dan kerabatnya serta menjadi ketua
keluarga dan melaksanakan upacara kematian ayahnya. Sungguhpun
demikian, hal ini tidak bermakna bahawa anak perempuan dipandang rendah.
Malah dalam agama Sikh, kedudukan kaum wanita sama dengan kedudukan
lelaki.
Seseorang Sikh yang menjadi ahli kaum Khalsa perlu berkahwin
dengan Khalsa juga. Jika pengantin perempuan belum lagi
memohon amrit (air suci) untuk menjadi ahli kaum Khalsa manakala
pasangannya Khalsa, maka dia perlu memohon amrit untuk menjadi ahli
kaum Khalsa.
Ada beberapa upacara yang dilakukan dengan teliti sebelum istiadat
perkahwinan dilangsungkan supaya mendatangkan hasil yang baik dan
memuaskan kedua-dua belah pihak. Antaranya, mangani, sehra bandhi,
milni dan anand karaj.
Pertama, mangani (pertunangan), walaupun tidak diwajibkan, boleh
dilakukan, sama ada di kediaman lelaki atau di gurdwara(pusat ibadat
penganut Sikh). Biasanya upacara formal diadakan di gurdwara. Pada hari
yang ditetapkan, bapa si perempuan bersama-sama saudara-mara pergi
ke gurdwara. Bakal pengantin lelaki duduk di depan menghadap kitab
suci, Sri Guru Granth Sahib Ji, dan dipakaikan kirpan (pedang kecil) oleh
bapa mentuanya. Selepas itu, dia disuapkan manisan dan diberi wang serta
dipakaikan cincin atau gelang emas. Bakal pengantin perempuan tidak
dibenarkan menghadiri upacara ini. Tarikh perkahwinan ditetapkan selepas
upacara pertunangan. Berita dan jemputan perkahwinan disebarkan kepada
saudara-mara dan sahabat handai kedua-dua belah pihak.
3. Menjelang hari perkahwinan, upacara yang wajib dijalankan ialah
mandi vatna. Dalam upacara ini, lima atau tujuh orang wanita yang telah
berkahwin memandikan bakal pengantin di rumahnya tiga atau empat hari
sebelum hari perkahwinan. Ringkasnya, upacara ini menandakan permulaan
perayaan perkahwinan.
Upacara kedua ialah mengikat sehra di dahi pengantin lelaki oleh
ibunya. Sehra ialah hiasan kepala yang dibuat daripada bunga dan kertas
berkilat. Sebelum mengikat sehra, adik perempuannya mengikat bola benang
bulu yang berwarna-warni di pergelangan tangan kanan abangnya untuk
menunjukkan hubungan persaudaraan sesama mereka. Abangnya kemudian
memberi wang kepada adik perempuannya. Sebelum pengantin lelaki keluar
dari rumah dan berangkat ke rumah pengantin perempuan, salah seorang
saudaranya menuangkan minyak kelapa di ambang pintu rumah untuk
menandakan alamat yang baik.
Upacara milni ialah adat pertemuan antara bapa pengantin lelaki / dengan
bapa pengantin perempuan / pada hari perkahwinan di kediaman pengantin
perempuan. Ardas(doa) dibacakan apabila rombongan pengantin lelaki tiba.
Dalam pertemuan ini bapa pengantin perempuan menghadiahkan sehelai
selimut dan wang kepada bapa pengantin lelaki. Kadang kala sebentuk cincin
atau gelang emas disertakan. Selepas itu, mereka berjabat tangan dan
berpeluk mesra.
Rombongan dihidangkan dengan sarapan pagi yang disediakan khas
sebelum berangkat ke gurdwara.
Anand karaj merupakan upacara yang terakhir dan penting yang dijalankan
di gurdwara. Upacara ini biasanya dimulakan dengan bernyanyi mazmur dan
membaca kitab suci. Selepas itu, granthi (ketua agama) menerangkan tujuan
mereka berkumpul pada hari tersebut kepada sangat (jemaah), termasuk
4. tujuan perkahwinan dan kewajipan suami isteri menurut pandangan agama
Sikh. Kedua-dua orang pengantin duduk bersila menghadap kitab
suci. Granthi berdiri bersama-sama pengantin lelaki dan perempuan, bapa
pengantin lelaki dan bapa pengantin perempuan untuk bacaan ardas secara
senyap.
Selepas itu, bapa pengantin perempuan memberi sehelai kain
tudung (palla) kepada pengantin lelaki dan dia memegangnya pada satu
hujung dan di hujung lain dipegang oleh pengantin perempuan. Selepas
itu, sangat menyanyikan ayat daripada kitab suci yang berkaitan
dengan anand karaj. Kedua-dua orang pengantin memegang tudung sambil
berjalan mengelilingi Sri Guru Granth Sahib Ji sebanyak empat kali.
Pergerakan ini disebut lavan. Pengantin lelaki berjalan di depan dan
pengantin perempuan mengikut dari belakang.
Selepas tamatnya lavan, granthi dan pasangan tersebut serta bapa mereka
berdoa sebagai tanda bersyukur atas kesempurnaan upacara perkahwinan
dan merestui pasangan tersebut. Granthi menasihatkan kedua-dua orang
pengantin tentang tanggungjawab mereka. Selepas
bacaan ardas semua sangat yang hadir diberi karah parshad (halwa yang
suci). Gurdwara menyuruh pasangan pengantin menandatangani buku daftar
perkahwinan gurdwara. Sijil perkahwinan (dalam tulisan Gumukhi) diberi
kepada pasangan.
Selepas makan tengah hari, pengantin perempuan dibawa pulang ke rumah
pengantin lelaki. Pemergian pengantin perempuan adalah peristiwa yang
menyedihkan bagi keluarganya kerana dia bukan "milik" mereka lagi.
Sebelum kereta pengantin bertolak, bapa pengantin lelaki membaling duit
syiling ke atas kereta tersebut. Perbuatannya itu bertujuan menunjukkan
5. kegembiraannya dan dia sanggup mengorbankan benda kesayangan
manusia, iaitu duit, demi kebahagiaan anaknya dan menantunya.
Secara keseluruhannya, anand karaj adalah suci dalam falsafah agama Sikh.
Penganut Sikh perlu mematuhi segala ajaran yang termaktub dalam kitab suci
agar perkahwinan mereka direstui oleh tuhan dan berkekalan ke akhir hayat.
Pasangan suami isteri yang sudah berkahwin perlu saling memahami dan
saling menghormati. Mereka perlu hidup bersatu dan cuba mengelakkan
konflik yang boleh menggugat ikatan kekeluargaan mereka.